Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menghadiri ambutan ke-50 tahun Pelabuhan Kuantan dan persidangan antarabangsa di sebuah hotel di Kuantan hari ini

KUANTAN – Kementerian Pengangkutan (MoT) sedia membantu Kerajaan Negeri Pahang untuk membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan.

Bagaimanapun, sehingga sekarang kementerian masih belum menerima sebarang permohonan Lesen Pengendali Aerodrom (AOL).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, AOL adalah keperluan yang wajib diperoleh sebelum projek pembinaan lapangan terbang itu boleh dimulakan.

“Kementerian akan melaksanakan kajian trafik sekiranya permohonan AOL telah dikemukakan.

“Kajian ini bagi menilai bersesuaian dengan Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara apatah lagi ia adalah projek pelaburan swasta, bukan inisiatif di bawah Kementerian Pengangkutan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutup  Persidangan Antarabangsa Pelabuhan Kuantan (K-ICe) 2024 sempena sambutan ke-50 tahun Pelabuhan Kuantan di sebuah hotel di sini hari ini.

Jelas Antony langkah berkenaan merupakan proses biasa yang dilalui oleh semua pihak yang ingin membangunkan lapangan terbang.

”Apabila mereka buat permohonan kita akan buat kajian dari segi trafik udara sama ada sesuai atau tidak termasuk lokasi dan sebagainya.

”Setakat ini masih belum menerima permohonan. Kalau ada permohonan sudah tentu kementerian memproses permohonan tersebut,” tambahnya.

Beliau berkata, projek Lapangan terbang Antarabangsa Kuantan itu merupakan salah satu kompenan dalam rancangan aerospace city yang merangkumi komponen lain termasuk industri aeroangkasa dan sebagainya.

Artikel berkaitan: Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan bernilai RM2 billion – MB

Jelasnya,  projek pelaksanaan kompenen lain yang tidak melibatkan kelulusan lesen aerodrom masih boleh dilaksanakan pada 2027 nanti.

Ujar beliau, projek lapangan terbang berkenaan relevan untuk dilaksanakan di negeri ini kerana ia bakal membawa bawa kemajuan kepada Pahang sekali gus menjadi gateway Pantai Timur bagi pelan jangka masa panjang.

Tetapi, projek itu perlu dikaji dengan lebih terperinci mamandangkan projek berkenaan melibatkan laluan markas udara iaitu Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Kem Batu 10, Kuantan.

”Dari segi perancangan Kerajaan Negeri Pahang memang sudah lama menyatakan hasrat untuk ada satu penerbangan awam secara kursus

”Banyak juga perlu dilihat kerana ada markas udara di Kuantan. Semua diambil kira kerana ia merupakan ruang udara yang kritikal dan melibatkan markas tetara udara kita,” jelasnya.

Pada 6 Julai 2022, kerajaan negeri mengumumkan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan dijangka mula beroperasi pada tahun 2026 dengan kos pembangunan  sebanyak RM2 billion.

Projek ini bakal menawarkan lebih 20,000 peluang pekerjaan dalam bidang perindustrian, pelancongan dan perkhidmatan.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembangunan projek itu dibangunkan di atas tanah seluas 5,042 hektar di kawasan Gebeng secara usaha sama iaitu melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast