Wan Rosdy (tiga dari kiri) mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyaksikan dua perjanjian persefahaman (MoU) bagi Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan dan Pemajuan Pembangunan Bercampur Bandar Aero-angkasa di Hotel Zenith Kuantan

KUANTAN – Projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan yang dijangka mula beroperasi pada tahun 2026 dengan kos pembangunan  sebanyak RM2 bilion bakal manfaat kepada penduduk Pahang.

Ia bakal menawarkan lebih 20,000 peluang pekerjaan dalam bidang perindustrian, pelancongan dan perkhidmatan, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, pembangunan projek itu dibangunkan di atas tanah seluas 5,042 hektar di kawasan Gebeng secara usahasama iaitu melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

Tambahnya,  projek  berkonsepkan pembangunan secara build-operate own di mana pengoperasian lapangan terbang berkenaan akan dikendalikan oleh pihak syarikat sepenuhnya melalui pembentukan syarikat tujuan khusus (SPV), Pahang Airport Berhad.

“Projek ini juga bakal membuka peluang pekerjaan baharu dengan sasaran 20,000 peluang pekerjaan bagi pengoperasian lapangan terbang serta 30,000 peluang pekerjaan lain melibatkan tenaga kerja mahir dan separuh mahir.

“Melalui projek ini juga, kerajaan negeri menyasarkan peningkatan kedatangan seramai 40.79 juta orang pelancong bagi tahun 2050 setelah mengambil kira situasi normal tanpa isu pandemik dan kemasukan pelabur-pelabur baharu.

“Kerajaan Pahang sentiasa komited untuk menjadi sebuah negeri yang mesra pelabur dengan menyediakan persekitaran pelaburan yang kondusif kepada para pelabur untuk membuat pelaburan dan mengembangkan perniagaan mereka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu Wan Rosdy mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyaksikan dua perjanjian persefahaman (MoU) bagi Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan dan Pemajuan Pembangunan Bercampur Bandar Aero-angkasa di Hotel Zenith Kuantan.

Jelasnya bagi Projek Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan, MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Corporation Sdn Bhd, Datuk Mohd Khusaini Harumaini yang mewakili Kerajaan Pahang bersama Pengerusi Eksekutif Gading Group Berhad, Datuk Seri Johari Harun selaku pemaju utama serta Ketua Perwakilan AVIC Intl ke Malaysia, Zhuo Yue selaku rakan strategik.

Manakala bagi Pemajuan Pembangunan Bercampur Bandar Aero-angkasa, MoU ditandatangani oleh Pengerusi Eksekutif Gading Group Berhad, Datuk Seri Johari Harun selaku pemaju utama dan Pengarah Syabas Seribumi Sdn Bhd,  Mohamad Nor Hamid selaku rakan strategik.

“Pelaksanaan projek ini diilhamkan pada akhir tahun 2019 dan telah mendapat kelulusan Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-39 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia pada 21 Oktober 2021.

“Projek ini merupakan projek berimpak tinggi yang melibatkan pemindahan lapangan terbang sedia ada ke kawasan baharu dan seterusnya menyokong Rancangan Fizikal Negara Ke-3 iaitu sebagai bandar pembangunan transit nasional (udara, darat dan laut) secara bersepadu,” katanya.

Selain itu, pelaksanaan projek turut mengambil kira faktor hab ekonomi lain kerana ia terletak di Kawasan Industri Gebeng selain berhampiran dengan Pelabuhan Kuantan dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta menjadi pintu masuk utama ke negeri-negeri Pantai Timur.

Justeru, pihaknya berharap dengan termeterainya MoU ini, perancangan untuk mewujudkan Bandar Aero-Angkasa Pahang ini dapat direalisasikan. – MalaysiaGazette