KUALA LUMPUR – Inflasi Malaysia meningkat 1.9 peratus pada Ogos 2026 berbanding 1.8 peratus pada bulan sebelumnya, dengan mata indeks meningkat kepada 137.5 daripada 134.9 (Ogos 2025) didorong oleh kumpulan pengangkutan yang meningkat 2.0 peratus berbanding 1.4 peratus pada Julai 2026.
Kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial & pelbagai barangan & perkhidmatan meningkat 3.2 peratus pada Ogos 2026 berbanding 2.9 peratus pada Julai 2026, diikuti oleh peningkatan kumpulan minuman alkohol dan tembakau, 2.8 peratus (Julai 2026: 2.7 peratus).
Kedua-dua kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain serta restoran dan perkhidmatan penginapan masing-masing meningkat 2.1 peratus pada Ogos 2026 berbanding 1.8 peratus dan 2.0 peratus pada bulan sebelumnya.
Di samping itu, kumpulan makanan dan minuman meningkat 1.9 peratus pada Ogos 2026 (Julai 2026: 1.8 peratus), manakala kumpulan Kesihatan meningkat 1.3 peratus berbanding 1.1 peratus pada bulan sebelumnya.
Selain itu, kumpulan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah meningkat secara marginal pada 0.4 peratus (Julai 2026: 0.3 peratus).
Kumpulan maklumat dan komunikasi menyederhana kepada 2.6 peratus berbanding 3.4 peratus pada Julai 2026.
Kumpulan pendidikan dan rekreasi, sukan dan kebudayaan masing-masing mencatatkan peningkatan 1.9 peratus (Julai 2026: 2.0 peratus) dan 1.1 peratus (Julai 2026: 1.2 peratus).
Pada masa yang sama, kumpulan insurans dan perkhidmatan kewangan turut meningkat perlahan kepada 1.0 peratus pada Ogos 2026 berbanding 1.1 peratus pada bulan sebelumnya.
Sementara itu, kumpulan pakaian dan kasut kekal pada 0.1 peratus, kadar yang sama seperti bulan sebelumnya.
Kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP meningkat 1.9 peratus pada Ogos 2026 berbanding 1.8 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya didorong oleh subkumpulan makanan di rumah yang meningkat 1.4 peratus berbanding 1.2 peratus pada Julai 2026.
Sementara itu, subkumpulan makanan di luar rumah meningkat 2.5 peratus, kadar yang sama dicatatkan pada bulan sebelumnya.
Kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain meningkat 2.1 peratus pada Ogos 2026 berbanding 1.8 peratus pada Julai 2026 didorong oleh subkumpulan elektrik, gas dan bahan api yang meningkat 3.3 peratus berbanding 2.0 peratus pada Julai 2026.
Selain itu, subkumpulan penyelenggaraan, pembaikan dan keselamatan rumah kediaman dan sewa sebenar untuk kediaman masing-masing meningkat 2.9 peratus (Julai 2026: 2.5 peratus) dan 1.5 peratus (Julai 2026: 1.4 peratus).
Manakala, subkumpulan bekalan air dan pelbagai perkhidmatan berkaitan dengan rumah kediaman menyederhana kepada 5.1 peratus daripada 7.3 peratus pada bulan sebelumnya.
Peningkatan inflasi subkumpulan elektrik, gas dan bahan api didorong oleh pengemaskinian kadar Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) yang dikenakan ke atas pelanggan domestik di Semenanjung Malaysia bagi penggunaan lebih daripada 600 kilowatt per jam (kWh).
Selain itu, semua pengguna domestik di Sarawak menerima diskaun bil elektrik sebanyak 25 peratus bagi tempoh April hingga Disember 2026, yang memberi manfaat kepada kira-kira 714,000 isi rumah susulan inisiatif bantuan kewangan kerajaan Sarawak.
Inflasi kumpulan pengangkutan meningkat 2.0 peratus pada Ogos 2026 berbanding 1.4 peratus pada Julai 2026 dipacu oleh subkumpulan perkhidmatan pengangkutan awam dan pengurusan peralatan pengangkutan persendirian yang masing-masing meningkat 10.5 peratus (Julai 2026: 6.5 peratus) dan 1.8 peratus (Julai 2026: 1.3 peratus).
Namun begitu, subkumpulan perkhidmatan pengangkutan barangan dan pembelian kenderaan masing-masing masih merekodkan penurunan pada Ogos 2026 dengan negatif 1.3 peratus dan negatif 0.7 peratus.
Purata harga petrol tanpa plumbum RON97 pada Ogos 2026 meningkat kepada RM4.28 seliter berbanding RM4.07 seliter pada Julai 2026.
Purata harga pasaran diesel mencatatkan pada RM4.60 seliter (Julai 2026: RM4.14 seliter) berbanding harga subsidi, RM2.10 seliter.
Di samping itu, purata harga pasaran petrol tanpa plumbum RON95 merekodkan RM3.75 seliter pada Ogos 2026 (Julai 2026: RM3.47 seliter) berbanding harga subsidi sebanyak RM1.99 seliter.
Sembilan negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional, 1.9 peratus iaitu Negeri Sembilan (2.5%), Johor (2.3%), Kedah (2.3%), Pahang (2.3%), Labuan (2.3%), Selangor (2.1%), Kuala Lumpur (2.1%), Melaka (2.0%) dan Putrajaya (2.0%).
Kesemua negeri mencatatkan peningkatan inflasi makanan & minuman kecuali Kelantan yang merekodkan penurunan pada Ogos 2026.
Bagi perbandingan bulan ke bulan, inflasi keseluruhan pada Ogos 2026 meningkat secara marginal 0.3 peratus (Julai 2026: 0.0 peratus).
Ini didorong oleh inflasi kumpulan pengangkutan yang mencatatkan 0.6 peratus berbanding negatif 1.1 peratus pada bulan sebelumnya diikuti oleh kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial & pelbagai barangan & perkhidmatan yang meningkat 0.5 peratus (Julai 2026: -0.5 peratus).
Kedua-dua kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain dan restoran dan perkhidmatan penginapan masing-masing meningkat 0.4 peratus berbanding 0.1 peratus dan 0.2 peratus pada bulan sebelumnya.
Manakala, kumpulan makanan dan minuman menyederhana kepada 0.2 peratus pada Ogos 2026 berbanding 0.3 peratus pada Julai 2026.
Sementara itu, tiga kumpulan merekodkan tiada peningkatan pada Ogos 2026 iaitu pakaian dan kasut, maklumat dan komunikasi serta insurans dan perkhidmatan kewangan. – MalaysiaGazette
















