KUALA LUMPUR – Prestasi perdagangan Malaysia terus mencatat pencapaian memberangsangkan pada Ogos 2026, dengan perdagangan, eksport dan import masing-masing merekodkan pertumbuhan melebihi 40 peratus tahun ke tahun.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, perdagangan melonjak 43.4 peratus tahun ke tahun kepada RM354.01 bilion, disokong oleh kenaikan eksport 45.5 peratus kepada RM191.05 bilion, manakala import berkembang 41.1 peratus kepada RM162.96 bilion.

Lebihan dagangan sebanyak RM28.09 bilion dicatatkan, meneruskan rekod lebihan dagangan 76 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.

Pertumbuhan eksport didorong oleh peningkatan eksport barangan perkilangan dan hasil galian, khususnya barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran petroleum, gas asli cecair (LNG) serta bijih logam dan serpihan logam.

Katanya, pengukuhan berterusan barangan utama ini terus menyokong pertumbuhan keseluruhan eksport, denganeksport barangan E&E mencecah RM656.14 bilion bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, sekali gus berada pada landasan untuk mengatasi nilai eksport keseluruhan tahun 2025.

Malaysia turut merekodkan peningkatan eksport ke rakan dagang utama pada Ogos 2026, dengan eksport ke ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Taiwan dan Kesatuan Eropah (EU) masing-masing mencatat pertumbuhan kukuh.

Eksport ke AS dan China merekodkan nilai bulanan tertinggi setakat ini, mencerminkan permintaan kukuh yang berterusan daripada dua rakan dagang utama tersebut.

Peningkatan eksport turut dicatatkan ke rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), termasuk Hong Kong SAR, Jepun, Mexico, Republik Korea, India, United Kingdom (UK), Türkiye, Pakistan, Kanada, Peru dan Chile, yang menunjukkan peluasan berterusan Malaysia dalam pasaran serantau dan global.

Menurut MITI, pada tempoh lapan bulan pertama 2026, perdagangan naik 27.0 peratus kepada RM2.514 trilion.

Eksport terus berkembang pada kadar lebih pantas berbanding import, meningkat 31.2 peratus kepada RM1.356 trilion, manakala import bertambah 22.4 peratus kepada RM1.158 trilion.

Lebihan dagangan bernilai RM198.66 bilion, melebihi dua kali ganda berbanding nilai yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing mencatat nilai kumulatif tertinggi bagi tempoh Januari hingga Ogos setakat ini.

Lebihan dagangan juga telah melepasi nilai keseluruhan tahun 2024 dan 2025, mencerminkan kekuatan serta daya tahan perdagangan luar Malaysia.

Melangkah ke hadapan, Malaysia akan terus memperkukuh asas bagi pertumbuhan perdagangan yang mampan melalui peluasan pasaran, peningkatan daya saing industri strategik serta usaha memperkukuh kedudukan pengeksport tempatan bagi memanfaatkan peluang baharu di pasaran global.

Penggunaan FTA yang lebih meluas serta penglibatan yang lebih mendalam dalam pasaran sedia ada dan pasaran baharu akan membuka ruang kepada pengembangan eksport yang lebih kukuh, manakala usaha beralih kepada aktiviti bernilai tambah lebih tinggi akan terus memperkukuh asas eksport dan kedudukan perdagangan Malaysia dalam jangka panjang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here