SHAH ALAM – Penyanyi, Muhammad Nidza Afham Mokhtar yang jasadnya ditemukan meninggal dunia malam tadi selepas hilang selama dua hari pernah merancang untuk melangsungkan pertunangan.
Perkara tersebut disahkan oleh adiknya yang juga penyanyi, Nur Aufahanie ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Shah Alam di sini hari ini.
Menurutnya, teman wanita Muhammad Nidza Afham yang dikenali sebagai Hazmiera turut hadir bagi mengikuti proses bedah siasat mangsa hari ini.
Menurut Aufahanie, mereka hanya mengetahui rancangan Muhammad Nidza Afham untuk bertunang selepas membaca mesej dalam telefon allahyarham malam tadi.
“Masa kami jumpa telefon arwah, kita minta nombor password daripada teman wanita beliau dan lihat ada grup arwah dengan teman wanitanya, rancangan mereka.
“Dengan Aufa pun kita orang selalu tanya siapa yang akan kahwin dulu. Abang Aufa yang nombor tiga baru sahaja kahwin, memang sepatutnya lepas itu dialah.
“Tak tahu bila. Dia memang ada perancangan, kumpul duit kahwin,” katanya.
Sementara itu Aufa berkata, dia dan Muhammad Nidza Afham sangat rapat dan abangnya selalu meluahkan isi hati kepada dirinya.
Adik beradik mereka seramai tujuh orang sebelum ini hidup terpisah semasa kecil kerana ibu bapa bercerai.
“Sudah besar sikit baru hidup dan selalu bersama. Bila sudah besar sikit, pernah tanya abang, adakah dia sedih dengan ibu dan bapa bercerai. Barulah dia buka (mulut). Selama ini tidak pernah nampak dia sedih, menangis.
“Tapi sejak dia ada teman wanita, dia sudah tidak mengadu mungkin dia meluahkan perasaan kepada teman wanita. Apa yang dia sedih kebelakangan ini memang Aufa tidak tahu.
Mayat Muhammad Nidza Afham ditemukan di Sungai Klang pada pukul 7 malam tadi selepas dua hari dilaporkan hilang dan menjalani proses bedah siasat pukul 9 pagi ini.
Media dimaklumkan proses bedah siasat mengambil masa selama empat jam dan jenazah akan dikebumikan di Puncak Alam selepas Asar. – MalaysiaGazette