PUNCAK ALAM – Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar disifatkan seorang sahabat yang pemurah, ringan tulang serta tidak kedekut berkongsi ilmu bersama rakan-rakannya.
Rakan Allahyarham, Abdul Wafiy Abdul Rahman, 23, berkata, sepanjang perkenalan mereka sejak 2019, Nidza Afham seorang rakan yang suka menolong tidak kira susah dan senang.
“Kami sama-sama belajar di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), Bangi dan arwah memang gemar dengan hiburan dan seorang yang sangat baik.
“Saya memang terkejut bila tahu pemergiannya dia sebab kali terakhir kami berjumpa sekitar bulan Jun lalu semasa hari pengebumian seorang rakan kami.
“Walaupun lama tidak berjumpa, ikatan persahabatan kami tetap utuh dan kami sentiasa bertanya khabar.
“Lagipun dia tidak sombong membuatkan ramai mudah mendekatinya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Tambah Abdul Wafiy, pemergian Allahyarham Nidza Afham, 23, memberi kesan kepadanya dan rakan-rakannya yang lain.
Rakan artis, Muhammad Alif Danial Ismail juga menyatakan Allahyarham tidak kedekut dalam berkongsi ilmu berkaitan industri hiburan.
“Kami kenal sejak 2019 untuk cover lagu bertajuk Jangan Sedih dan dia yang banyak membantu untuk naikkan lagu itu di Instagram.
“Dia memang baik dan tidak pernah buat kami terasa, seorang pendiam dan tidak pernah buat masalah. Bila pemergiannya ini memang terkesan sangat.
“Kali terakhir kami berjumpa ketika konsert Big Stage tahun lepas dan selepas itu kurang berhubung antara satu sama lain,” ujarnya.
Tambah Muhammad Alif Danial, sebelum pemergiannya, rakannya itu ada menghantar pesanan untuk bekerjasama cover lagu tetapi ia tidak kesampaian.
“Kadang-kadang saya ada juga meminta tolong dia untuk set-up ini, dia memang selalu bantu dan tidak kedekut ilmu dengan kami.”
“Untuk ucapan terakhir, kalau arwah masih hidup, kami nak minta maaf andai ada salah silap yang dilakukan dan terima kasih kongsi semua ilmu untuk ajar lagu dan edit lagu sepanjang perkenalan kita ini,” ujarnya.
Difahamkan, solat jenazah akan dilakukan di Masjid Puncak Alam dan selepas itu jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Puncak Alam.
Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan mayat lelaki yang ditemukan di Sungai Klang, petang semalam adalah Nidza Afham.
Mangsa dilaporkan hilang 7.45 malam kelmarin selepas keluar berjoging di Stadium Klang, Selangor, kira-kira pukul 11.53 malam sebelumnya. – MalaysiaGazette