Reaksi sedih penyanyi, Aufahanie (tengah) bersama ibu dan abangnya selepas selesai proses pengebumian Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar selepas selesai solat jenazah ketika di Tanah Perkuburan Islam Puncak Alam. Foto MOHD ADZLAN, 15 OGOS 2024.

PUNCAK ALAM – “Adik ada merancang buat simpanan pelaburan untuk persediaan berkahwin,” itu antara yang dikongsikan abang sulung kepada Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar.

Menurut Mohd Nidza Irfan Mokhtar, 33, adiknya itu juga menunjukkan perubahan dengan memperbaiki solatnya sebagai persediaan menjadi seorang imam.

“Saya melihat di laptop dia ada satu fail khas yang menunjukkan makna-makna dalam solat. Jadi kemungkinan arwah nak mula belajar khusyuk dalam solat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas proses pengebumian Allahyarham Nidza Afham yang merupakan anak kelima daripada tujuh beradik di Tanah Perkuburan Bandar Puncak Alam di sini hari ini.

Mohd Nidza Irfan menyifatkan Allahyarham seorang yang sentiasa ringan tulang  membantu ahli keluarga tidak kira susah atau senang.

“Dia tidak pernah berkata tidak. Jika Nidza Afham tidak mampu atau tidak boleh membantu, dia akan kata saya sibuk.

“Dalam kalangan adik-beradik, dia ni penghibur, bukan sahaja sering buat kami gelak dan dia juga suka ‘tambah minyak’ bila bergurau bersama,” luahnya.

Ahli keluarga dan sahabat mengusung keranda Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar selepas selesai solat jenazah ketika di Masjid Puncak Alam. Foto MOHD ADZLAN, 15 OGOS 2024.

Nidza Irfan berkata, Rabu lalu adalah perbualan mereka terakhir sewaktu mesyuarat dalam talian berkaitan perkembangan kerja.

“Tidak boleh nak bayangkan dalam  kata-kata sebab dia sudah pergi. Sebagai abang, saya cuma nak dia ada hidup lebih baik kerana saya dah hadapi macam-macam dugaan dalam kehidupan.

“Pada saya , dia tidak perlu ulang apa yang saya lalui selama ini dan saya harap dia dapat hidup lebih baik,” ujarnya.

Terdahulu, hampir 1,000 orang termasuk ahli keluarga dan rakan-rakan Allahyarham Nidza Afham hadir ke Masjid Puncak Alam untuk solat jenazah yang disempurnakan pada jam 6 petang tadi.

Jenazah Allahyarham kemudian selamat dikembumikan di Tanah Perkuburan Islam Puncak Alam sekitar jam 6.20 petang.

Semalam, mayat Nidza Afham ditemui pemancing kira-kira pukul 7 malam iaitu kira-kira satu kilometer dari lokasi dilaporkan hilang di jambatan Sungai Klang.

Mayatnya kemudiannya dibawa ke Hospital Shah Alam (HSA) untuk proses bedah siasat.

Nidza Afham sebelum ini dilaporkan hilang jan 7.45 petang pada 13 Ogos lalu selepas keluar berjoging di Stadium Sulaiman, Klang. – MalaysiaGazette