Zahari (berdiri Tengah) pada sesi kunjungan hormat ke UPM, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR  – Pelantikan Datuk Zahari Ibrahim sebagai Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (KPPSM) merupakan satu pencapaian buat alumni Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menyedari UPM sebagai alma mater beliau, kunjungan hormatnya terhadap Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah di UPM baru-baru ini telah melahirkan hasratnya untuk mengukuhkan kerjasama antara Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) terrutama dalam bidang kepakaran beliau iaitu pengurusan hutan.

Selain itu, antara rancangan kerjasama dibincangkan ialah meliputi perancangan dalam bidang kesejahteraan planet (Planetary Health) yang menjurus ke arah Sustainable Development Goals (SDGs), ⁠penghutanan semula (Reforestation), ⁠Agro-perhutanan (Agro-forestry), termasuk kajian kelestarian hutan dalam konteks keterjaminan makanan.

Beliau sempat mengimbau pengalaman sewaktu menjadi pelajar di UPM yang disifatkan antara masa terbaik dalam fasa hidup beliau.

Justeru, beliau memilih untuk melakukan kunjungan hormat pertama selepas dilantik sebagai Ketua Pengarah JPSM ke UPM, yang beliau sebut sebagai adab keilmuan menghargai tempat tempat asal sebelum berjaya.

Beliau turut bangga dengan peranan UPM sebagai peneraju pertanian dan keterjaminan makanan negara.

Disamping itu turut dicadangkan beliau program satu pokok seorang pelajar, yang mana pelajar akan menanam dan menjaga pokok yang ditanam sepanjang pengajian mereka bagi memberikan rasa kecintaan dan membina jiwa putra dalam diri mereka.

Ahmad Farhan menghargai kesediaan pihak beliau untuk bekerjasama dengan UPM sebagai manifestasi sebenar konsep “Berilmu Berbakti” yang menjadi tunjang kepada konsep true north UPM.

Pelantikan Zahari membawa era baharu dalam kerjasama antara UPM-JPSM dalam bidang pengurusan hutan di Semenanjung Malaysia dengan memfokuskan kepada kelestarian dan pemeliharaan alam sekitar.

Beliau telah meminta bantuan kepakaran UPM dalam membangun dan memantapkan penggunaan kecerdasan buatan dan Internet of Things dalam sistem pengurusan hutan di Malaysia sejajar dengan Sistem Pengelolaan Hutan Lestari.  – MalaysiaGazette