TAN Sri Muhyiddin Yassin bertemu penduduk ketika turun berkempen sempena PRK DUN Nenggiri di Gua Musang, Kelantan, semalam. - Foto: FB Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan keyakinan gabungan parti itu mampu melakar kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang berlangsung Sabtu ini.

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, perkara itu berdasarkan sambutan amat memberangsangkan yang diberikan penduduk Nenggiri terhadap jentera PN sepanjang tempoh berkempen.

Bagaimanapun, Muhyiddin mengingatkan jentera PN supaya tidak berasa selesa atau terlalu yakin sebaliknya menggunakan tempoh berkempen yang berbaki beberapa hari sahaja lagi untuk mendapatkan sebanyak mungkin sokongan.

“Saya sudah diberikan taklimat oleh jawatankuasa induk dan diberikan data-data serta maklumat terperinci tentang apa yang sedang berlaku di bawah.

“Sambutan daripada pengundi di Nenggiri, Alhamdulillah amat memberangsangkan.

“Malahan sesetengah kawasan yang kita tak boleh tembusi termasuk kawasan-kawasan Orang Asal (Asli), mereka mengalu-alukan kehadiran kita.

“Secara umumnya saya yakin (kemenangan kepada PN) tapi dalam pilihan raya seperti ini kita jangan terlalu over confident…berbaki tiga hari ini agak kritikal dalam menentukan ke mana arah pengundi nanti,” katanya kepada pemberita sewaktu ditemui ketika turun padang berkempen sempena PRK DUN Nenggiri di Gua Musang semalam.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut merayu pengundi luar untuk pulang mengundi pada Sabtu ini bagi memastikan kemenangan PN.

Ujar beliau, walaupun sokongan penduduk Nenggiri baik namun ia boleh menjejaskan peluang untuk PN mengekalkan kerusi DUN itu sekiranya anak rantau tidak pulang dan peratusan keluar mengundi merosot.

Pada PRK Nenggiri Sabtu ini, PN mempertaruhkan ahli Bersatu, Mohd. Rizwadi Ismail yang bertanding menggunakan logo Pas dalam pertandingan satu lawan satu menentang calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan. – MalaysiaGazette