KUALA LUMPUR – Puspakom akan melancarkan tempoh percubaan operasi selama 16 jam sehari di cawangan Glenmarie bermula 2 September 2024 hingga 3 Januari 2025.

Ini merupakan langkah proaktif syarikat bagi menampung permintaan pemeriksaan yang semakin meningkat dan juga salah satu langkah strategik Puspakom ke arah skop pasaran terbuka di dalam industri pemeriksaan kenderaan di Malaysia.

Sepanjang tempoh percubaan ini, pelanggan yang ingin membuat pemeriksaan di cawangan Glenmarie boleh membuat temujanji pemeriksaan dengan lebih awal bermula 16 Ogos 2024 di www.mypuspakom.com.my .

Dengan waktu operasi yang baharu ini, secara tidak langsung dapat menyediakan lebih banyak slot temujanji pemeriksaan kepada pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, penambahan waktu operasi ini merupakan sebahagian daripada projek percubaan untuk menilai kesesuaian pelaksanaan waktu operasi yang lebih panjang.

“Kami sedang cuba untuk melanjutkan waktu operasi yang lebih panjang bagi mengurangkan kesesakan di cawangan-cawangan Puspakom yang mempunyai trafik yang tinggi dan untuk permulaan ini, kami memilih Puspakom Glenmarie sebagai cawangan percubaan bagi mengenal pasti ruang-ruang penambahbaikan.

“Sekiranya mendapat sambutan yang baik, kami akan melaksanakan secara berperingkat di cawangan-cawangan lain,” tambahnya.

Inisiatif ini bukan sahaja mencerminkan komitmen Puspakom dalam memberikan perkhidmatan yang lebih baik, bahkan juga sebagai usaha untuk memastikanpelanggan dapat merancang pemeriksaan dengan lebih fleksibel dan selesa.

Waktu operasi di cawangan-cawangan lain kekal sama dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang. – MalaysiaGazette