isu 3R kerajaan tebuk atap
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mengingatkan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Teresa Kok yang sejarah kekejaman komunis tidak boleh diubah atau dilupakan.

Tegas beliau, sejarah yang zalim tidak boleh diubah menjadi sejarah yang `baik hati’ dan kezaliman adalah tetap kezaliman.

Ujar beliau, rakyat negara ini juga tidak akan boleh melupakan kekejaman Bintang 3 dan peristiwa Bukit Kepong yang mana lukanya tetap berkekalan sehingga ke hari ini dan akan datang.

“Saya ingin tanya Teresa Kok. Apa yang dia maksudkan agar kita memandang sejarah dari sudut yang lebih terbuka dan rasional? Boleh ubah sejarah?

“Sejarah tetap sejarah. Prinsip sejarah ialah exist in the past, exist today and exist in the future (wujud pada masa lalu, wujud hari ini dan wujud pada masa depan).

“Sebab itu genosid adalah genoside. Pol Pot tetap salah. Radovan Karadzick dihukum bersalah oleh Tribunal Jenayah Antarabangsa (ICT),” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Tambah Mohd. Puad, asas itu juga menjadi sebab kepada bantahan komik berjudul ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ tulisan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau.

Dakwa beliau, komik itu adalah ‘jarum harum’ untuk menghidupkan fahaman komunis sedangkan rakyat tidak pernah melupakan kekejaman Parti Komunis Malaya (PKM).

“(Pada) 2009 Mahkamah Persekutuan tolak usaha terakhir Chin Peng (pemimpin PKM) balik ke Malaysia. Tetapi abu mayat Chin Peng berjaya diseludup balik tahun 2019.

“Masa itu PH 1.0 berkuasa. Muhyiddin adalah Menteri KDN. Maka siapa tidak hormat keputusan mahkamah?” soalnya.

Semalam, Teresa menempelak Mohd. Puad dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh yang disifatkan tidak menghormati keputusan mahkamah berhubung pembatalan perintah larangan terhadap komik tersebut serta menyekat kebebasan bersuara.

Ia susulan gesaan kedua-dua pemimpin UMNO berkenaan supaya kerajaan mengkaji semula pembatalan Perintah Larangan penerbitan komik tulisan `Superman Hew’ yang pernah mencetuskan kontroversi sebelum ini kerana didakwa mengandungi unsur-unsur mengagungkan fahaman komunisme dan sosialisme. – MalaysiaGazette

 

ARTIKEL BERKAITAN:

Puad, Akmal tidak hormat keputusan mahkamah – Teresa

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast