Majlis menandatangani MoU ini telah dijayakan oleh Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan Industri (FTKIP), Professor Ir. Dr. Hambali bin Arep @ Ariff mewakili Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin manakala MEP Enviro Technology diwakili 2 orang Pengarah Urusannya Datuk Ivan Ong Joo Ming dan Ong Joo Seng.

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memperluaskan perkongsian kepakaran dalam bidang pengurusan sisa elektronik (e-waste) dengan memeterai Memorandum Persefahaman dengan MEP Enviro Technology Sdn Bhd, baru-baru ini di Bukit Minyak, Pulau Pinang.

Majlis menandatangani MoU telah dijayakan oleh Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan Industri (FTKIP), Prof Ir. Dr. Hambali bin Arep @ Ariff mewakili Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin manakala MEP Enviro Technology diwakili dua pengarah urusannya, Datuk Ivan Ong Joo Ming dan Ong Joo Seng.

Majlis pemeteraian MoU turut disaksikan oleh Raja Muda Perak, Raja Ja’afar Raja Muda Musa dan pada masa yang sama dihadiri oleh pegawai-pegawai tinggi dari pelbagai agensi dan industri.

Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, kerjasama strategik menzahirkan hubungan UTeM dan industri terus memberikan impak besar dalam sektor perindustrian dalam negara serta berangkaian di rantau Asia Tenggara.

Jelasnya, menerusi kerjasama, UTeM berkongsi kepakaran dalam pembangunan penyelidikan berfokuskan kepada e-waste dan pelbagai rangkaian inisiatif iringan berkaitan sumber ini.

“Inisiatif ini termasuk pengurusan kitar semula e-waste dan plastik serta pembangunan produk baharu seperti bata tanah liat yang dihasilkan daripada sisa terjadual (e-waste) untuk dijadikan peluang perniagaan baharu.

“Dengan kerjasama ini, UTeM bukan sahaja berperanan sebagai pusat kecemerlangan pendidikan tinggi malahan menjadi pilihan utama sebagai rakan strategik industri dalam usaha membangunkan teknologi dan perniagaan yang mampu memberi impak positif kepada alam sekitar dan ekonomi negara,” ujarnya.

Sementara itu, Dekan FTKIP,Prof Hambali menyatakan kerjasama dilihat sebagai satu langkah yang terus signifikan dalam usaha mencapai matlamat pengurusan sisa mampan serta mewujudkan peluang perniagaan baharu yang berpotensi besar.

Katanya, kumpulan penyelidik dari FTKIP sentiasa bersedia menyerlahkan penemuan-penemuan terbaik hasil daripada penyelidikan dan inovasi yang signifikan sekali gus mencapai matlamat kerjasama strategik ini.

“Kumpulan penyelidik seramai lima orang dalam kalangan tenaga akademik FTKIP yang diketuai Dr. Al Amin Mohamed Sultan terdahulu telah membuat kajian penyelidikan awalan sejak bulan Mei lalu,” katanya.

Sementara itu,  Pengarah Urusan MEP Enviro Technology, Datuk Ivan Ong Joo Ming rasa gembira dengan penglibatan UTeM berkongsi kepakaran bagi memacu ke arah kejayaan projek ini.

“Kami sangat gembira dengan UTeM yang membawa kepakaran dan pengetahuan teknikal yang mendalam dan menerusi kerjasama ini akan mempercepatkan lagi usaha kami untuk mencapai matlamat pengurusan sisa yang mampan dan membuka peluang perniagaan baharu yang lebih inovatif”, jelasnya.

Pembukaan kilang pemulihan bernilai RM100 juta oleh MEP Enviro Technology Sdn Bhd di Bukit Minyak Industrial Park, Pulau Pinang itu turut menandakan komitmen syarikat ini untuk terus mempertingkatkan kapasiti pengurusan sisa di rantau ini.

Dengan kapasiti memproses sehingga 18,000 metrik tan sisa setiap bulan, kilang ini dijangka menjadi pusat pemulihan sisa terjadual terkemuka di Asia Tenggara. – MalaysiaGazette