KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia berkembang 5.9 peratus pada suku kedua 2024 mengatasi unjuran awal 5.8 peratus iaitu meningkat 1.7 peratus berbanding suku pertama tahun ini.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan itu dipacu oleh peningkatan ketara perbelanjaan isi rumah dan pasaran kerja yang kukuh serta sokongan dasar yang lebih meluas.
Beliau berkata, peningkatan perbelanjaan penggunaan isi rumah dirangsang oleh musim perayaan dan cuti sekolah, pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 pada April 2024 serta pengeluaran Akaun 3 (Akaun Fleksibel) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Selain itu, faktor yang menyumbang juga adalah dalam peningkatan eksport barangan dan ketibaan pelancong yang lebih tinggi serta pengembangan kukuh dalam aktiviti pelaburan.
“Bagaimanapun, pertumbuhan pengeluaran perlombongan yang lebih rendah susulan gangguan di lapangan minyak dan gas memberikan bebanan kepada pertumbuhan itu,” katanya semasa sidang media KDNK suku kedua 2024 di sini hari ini.
Turut hadir, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour
Mengulas lanjut, Mohd. Uzair menambah, aktiviti pelaburan disokong oleh projek berbilang tahun yang terus dilaksanakan dan pengembangan kapasiti oleh syarikat.
“Eksport bertambah baik berikutan permintaan luaran yang lebih tinggi dan limpahan peningkatan kitaran teknologi global yang positif. Kebanyakan sektor penawaran mencatatkan pertumbuhan yang lebih tinggi.
“Sektor perkilangan disokong oleh peningkatan yang menyeluruh merentas semua kelompok, khususnya kelompok elektrik dan elektronik (E&E) manakala sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan kukuh didorong oleh subsektor berkaitan pengguna dan perniagaan.
“Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 2.9 peratus,” katanya.
Sementara itu, Abdul Rasheed berkata, pertumbuhan pada separuh kedua tahun 2024 akan didorong oleh perbelanjaan dalam negeri dengan sokongan permintaan luaran yang terus kukuh.
“Di dalam negeri, perbelanjaan isi rumah akan disokong oleh pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan serta langkah-langkah dasar. Aktiviti pelaburan akan didorong oleh projek berbilang tahun yang terus dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam.
“Inisiatif pemangkin yang diumumkan dalam pelan-pelan induk nasional, serta lebih banyak pelaburan yang direalisasikan juga merupakan pendorong utama untuk aktiviti pelaburan.
“Dari segi luaran, peningkatan kitaran teknologi global yang berterusan dan permintaan yang terus kukuh dalam barangan bukan elektrik dan elektronik dijangka meningkatkan eksport. Ketibaan dan perbelanjaan pelancong dijangka terus bertambah baik,” katanya.
Abdul Rasheed menambah, risiko pertumbuhan menjadi lebih tinggi merangkumi limpahan peningkatan kitaran teknologi yang lebih besar, aktiviti pelancongan yang lebih giat serta pelaksanaan projek pelaburan sedia ada dan baharu yang lebih cepat.
“Risiko prospek pertumbuhan Malaysia menjadi perlahan berpunca daripada pengurangan permintaan luaran, konflik geopolitik yang semakin meruncing dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan,” katanya.
Beliau memberitahu, inflasi akan terus berada dalam julat unjuran pada tahun 2024, dengan inflasi keseluruhan dan teras dijangka meningkat sedikit pada separuh kedua 2024 disebabkan terutamanya oleh rasionalisasi subsidi diesel.
Bagaimanapun, tambahnya, kesan daripada rasionalisasi itu kekal terurus berikutan langkah-langkah pengurangan oleh kerajaan untuk meminimumkan impak kos kepada perniagaan.
“Bagi baki tahun 2024, risiko inflasi menjadi lebih tinggi bergantung pada sejauh mana kesan limpahan daripada langkah-langkah dasar dalam negeri berhubung dengan subsidi dan kawalan harga ke atas trend harga yang lebih meluas.
“Selain itu, risiko ini bergantung pada harga komoditi global dan perkembangan pasaran kewangan. Inflasi keseluruhan dan inflasi teras bagi tahun 2024 diunjurkan berada dalam julat unjuran masing-masing sebanyak 2.0 peratus hingga 3.5 peratus dan 2.0 peratus hingga 3.0 peratus,” katanya. – MalaysiaGazette