Seramai 41 orang awam Palestin yang cedera akibat konflik di Gaza yang diterbangkan dari Pangkalan Udara Al Maza, Mesir pada Khamis malam dengan menggunakan dua pesawat Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan selamat tiba Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Subang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 16 OGOS 2024

SUBANG – Malaysia tidak bercadang untuk menyediakan hospital medan di negara bergolak khususnya Palestin dan memilih untuk membawa pesakit untuk dirawat di negara ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kemudahan perubatan itu tidak terkecuali daripada menjadi sasaran serangan ketenteraan Isreal.

“Malaysia tidak menyediakan Hospital Medan di Palestin dan kawasan sekitar atas faktor risiko yang sangat tinggi.

“Pihak IDF, Israel tidak mengira sama ada ia markas tentera mahupun hospital, mereka (Israel) bom semua sekali.

“Jadi sebab itulah kita tidak melihat itu (Hospital Medan) sebagai satu pilihan terbaik,” katanya pada sidang media di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini, hari ini.

Beliau menyambut ketibaan 41 pesakit dan 86 waris warganegara Palestin yang selamat mendarat di PU TUDM, di sini, jam 2.30 dan 3 petang tadi.

Dua pesawat Airbus A-400M milik TUDM yang berlepas dari Pangkalan Udara Al Maza, Mesir pada Khamis malam melakukan penerbangan kemanusiaan itu dengan mengambil masa kira-kira 13 jam.

Dalam pada itu, Khaled berkata, Malaysia menjadi negara kelima membawa pesakit warga Palestin untuk mendapatkan rawatan perubatan di negara ini.

“Lebih-lebih lagi, kita ini Malaysia dengan pendirian kita yang sangat kuat dan tegas dalam soal ini (mempertahankan hak Palestin).

“Malaysia mengambil langkah sama seperi negara-negara lain termasuk Indonesia untuk membawa pulang rakyat Palestin yang cedera,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast