Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar kenangan bersama penjawat awam selepas majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam kali ke 19 (MAPPA XIX) 2024 di PICC, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 16 OGOS 2024.

PUTRAJAYA – Tindakan tatatertib akan dikenakan terhadap ketua- jabatan yang didapati bersalah menyembunyikan salah laku pegawai dibawah kendaliannya, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, selain tindakan tatatertib, sekatan kenaikan pangkat juga akan dikenakan kepada golongan berkenaan.

“Ada guru besar, ketua jabatan mahu jaga imej jabatan dan sekolah, budak (murid) didera separuh mati tidak dilapor kepada polis. Ada ketua jabatan tahu pegawai mempunyai kekayaan yang lebih,  tidak dilaporkan.

“Maka kalau itu terbukti tidak dilaporkan, ketua jabatan tidak akan dinaikkan pangkat,” katanya tegas.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-19, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan akan turut melaksanakan pusingan kerja membabitkan ketua-ketua jabatan.

Langkah itu akan dilaksanakan bagi mengelak berlaku kes salah laku dalam kalangan pegawai awam.

“Kita juga harus melihat tentang keperluan untuk memastikan perkhidmatan bagi yang terus kepada rakyat seperti keperluan doktor di hospital dan pegawai polis di lapangan perlu disesuaikan dengan beban tugas hakiki, bukan lagi dibebani dengan tugasan yang bersifat pentadbiran,” ujarnya.

Jelas Anwar lagi, ia kerana terdapat pembaziran kepakaran, kekurangan tenaga kerja berlaku di tempat yang sepatutnya.

“Kita perkasakan seperti contoh di hospital dan klinik yang memerlukan penambahan sumber. Saya mahu perkara ini diteliti sewajarnya oleh kementerian yang berkaitan dan melaksanakan penjajaran semula sumber kepada tempat yang betul-betul memerlukan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast