KUALA LUMPUR – Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin dianugerahkan Personaliti Cemerlang Malaysia (Kepimpinan TVET), semalam.

Menurut kenyataan UTeM, kejayaan tersebut menandakan pengiktirafan terhadap kepimpinan strategik dan berimpak tinggi Dr Massila dalam memacu TVET negara melalui Pelan Strategik UTeM 2023-2025, dengan fokus utama pada Memperkasa TVET Meluncur Kerjaya.

“Di bawah pimpinan Dr Massila, UTeM telah mengalami kejayaan dalam pendidikan TVET, termasuk peningkatan ketara dalam kebolehpasaran graduan,” katanya.

Pengiktirafan itu diberikan sempena majlis Malaysia Education & TVET Awards (META) 2024 berikutan kewibawaan kepimpinan beliau dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts Mustapha Sakmud.

META 2024 merupakan acara berprestij yang dianjurkan oleh Education dan TVET Asia Publications untuk mengiktiraf kecemerlangan dalam bidang pendidikan dan TVET di Malaysia dan Asia Tenggara. 

Menurut UTeM, hasil daripada kepemimpinannya, universiti itu telah berupaya menarik minat rangkaian industri multinasional sebagai rakan kolaborasi dalam pelbagai agenda TVET dan penyelidikan inovasi.

Katanya, di peringkat nasional, Dr Massila memainkan peranan penting dalam Majlis TVET Negara termasuk pelaksanaan program JELITA (Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement).

Di peringkat antarabangsa pula, tambahnya, beliau telah berjaya menjalin kerjasama dengan institusi pendidikan TVET global, serta meningkatkan bilangan pelajar antarabangsa di UTeM.

Menurut kenyataan itu, Dr Massila juga berjaya mengetuai Jawatankuasa Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dalam merangka Pelan TVET Termaju MTUN 2030 yang menekankan pembangunan bakat melalui kepakaran teknikal dan keusahawanan selaras Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF). – MalaysiaGazette