Seorang pemain bola sepak akan didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958, Seksyen 336 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana membawa kerambit dan membaling bom petrol di Mahkamah Sesyen KL. Foto AIZAT ZAINAL, 16 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Seorang pemain bola sepak amatur telah dipenjara selama 14 hari oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas tertuduh mengaku bersalah menunjukkan sebilah kerambit dalam insiden pergaduhan di KLFA Football Centre awal Ogos lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Norina Zainol Abidin telah menjatuhkan hukuman itu selepas Muhammad Nur Iman Shafie Mohd Sulin membuat pengakuan setelah kertas pertuduhannya dibacakan oleh jurubahasa pagi tadi.

Mengikut fakta pertuduhan pilihan, Muhammad Nur Iman, 22, didakwa telah menunjukkan senjata berbahaya iaitu sebilah kerambit di mana perbuatan itu dilakukan dengan  gopoh sehingga membahayakan keselamatan diri dan orang lain.

Tertuduh melakukan kesalahan itu pada 4 Ogos lepas pukul 12.45 pagi di KLFA Football Center, Desa Melawati, Wangsa Maju.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM500 atau kedua-dua sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ridzuan Abd Latif manakala peguam, Muhammad Syawal Mohd Razak mewakili tertuduh.

Dalam rayuan, Muhammad Syawal merayu mahkamah agar mengenakan hukuman denda paling minima atas alasan tertuduh sekadar membantu ibu bapa menjual nasi lemak secara kecil-kecilan dengan pendapatan tidak seberapa.

“Anak guam saya juga seorang anak yang baik dan bertanggungjawab untuk menghantar ibunya ke Hospital Selayang setiap minggu untuk merawat berkaitan penyakit batu hempedu yang dialami ibu tertuduh,” katanya.

Bagaimanapun, Ridzuan meminta mahkamah agar menjatuhkan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh supaya ia menjadi satu pengajaran.

“Yang Arif, kes ini mendapat liputan meluas lapisan masyarakat dan oleh itu satu hukuman sewajarnya perlu diberikan untuk memberi mesej jelas kepada masyarakat di luar bahawa kesalahan seumpama ini diberikan hukuman setimpal oleh mahkamah,” ujarnya.

Norina yang mendengar hujah kedua dua pihak pendakwaan dan peguambela memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama 14 hari bermula hari ini.

Sebelum itu, dalam satu pertuduhan berasingan, Muhammad Nur Iman yang berpakaian serba hitam mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan melakukan khianat dengan membaling empat botol yang dinyalakan api ke arah sebuah kelab hiburan di Jalan Yap Kwan Seng sehingga mengakibatkan kerosakan pada bahagan depan kelab tersebut.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 9 Mei lalu bersama-sama empat lagi individu di hadapan Kelab KGF KL  lebih kurang pukul 2.17 pagi.

Dia didakwa melakukan satu kesalahan di Bawah Seksyen 235 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum pemenjaraan untuk suatu tempoh boleh sampai 14 tahun dan boleh dikenakan denda.

Ridzuan selaku TPR menawarkan wang jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin warga negara kepada tertuduh.

Bagaimanapun, peguamnya Haziq Aizuddin Subhi menyifatkan nilai jaminan yang dicadangkan adalah terlalu tinggi.

Beliau meminta mahkamah mempertimbangkan keadaan tertuduh yang mempunyai tanggungan dan menyeru agar suatu nilai jaminan yang seminimum boleh.

Selepas mendengar hujah tersebut, Hakim Norina membenarkan wang jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 25 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast