Hock Kuan menyampaikan ucapan ketika menemui pengundi sempena kempen PRK DUN Nenggiri, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – MCA menganggap meskipun pengundi Cina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri hanya memiliki jumlah 0.2 peratus daripada keseluruhan 20,259 pengundi berdaftar namun undi mereka penting untuk memenangkan calon yang diketengahkan Barisan Nasional (BN).

Penerangan MCA menerusi kenyataan berkata, kempen bagi meraih undi dalam kalangan kaum itu dengan cara turun padang mendekati mereka merupakan semangat BN yang diterjemahkan melalui hubungan setiakawan antara parti-parti komponen.

“Baru-baru ini, Pengerusi MCA Negeri Kelantan, Chua Hock Kuan bersama Ketua Bahagian MCA Gua Musang dan jentera MCA telah menyantuni pengundi Cina di DUN Nenggiri, termasuk menziarahi seorang pengundi yang uzur.

“Selain meneruskan kerja-kerja kemasyarakatan sepertimana sebelum adanya PRK, jentera MCA juga menawarkan bantuan-bantuan yang diperlukan oleh masyarakat setempat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, MCA Kelantan akan meneruskan kempen PRK Nenggiri kali ini menerusi pelbagai kaedah termasuk kempen di media sosial dan juga turun padang dengan merayu undi untuk memenangkan calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

Katanya, calon yang ditonjolkan merupakan seorang yang berwibawa dan layak untuk mengangkat suara Nenggiri di DUN Kelantan dengan lantang.

PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Bersatu pada 13 Jun lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 17 Ogos ini, manakala hari mengundi awal yang pada mulanya ditetapkan pada 13 Ogos tidak akan diadakan selepas kesemua 14 pengundi yang terbabit memilih mengundi secara pos.

Calon BN Mohd Azmawi bakal dicabar calon Pas, Mohd Rizwadi Ismail yang dipertaruhkan Perikatan Nasional (PN) bagi mempertahankan kerusi berkenaan. – MalaysiaGazette