PUTRAJAYA – Kerajaan akan melaksanakan Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM), kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, skim yang dirangka itu bukan semata-mata hanya pembaharuan dan peningkatan dalam pendapatan boleh guna yang akan dinikmati oleh penjawat awam namun ia adalah satu sistem saraan yang berteraskan prestasi.
“Siapa yang cemerlang akan dapat ganjaran, siapa gagal mempamer prestasi yang baik, akan dikenakan tindakan.
“Sebagaimana yang selalu saya tegaskan, kita tidak boleh sewenang-wenangnya memberikan layanan yang sama kepada semua terutama dalam aspek ganjaran dan pengiktirafan.
“Saya mahu mesejnya jelas supaya penjawat awam yang tidak menunjukkan prestasi kerja yang baik, culas, sering tidak hadir ke pejabat tanpa kelulusan Ketua Jabatan tidak akan diberikan ganjaran,” katanya dalam ucapan amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke 19 (MAPPA XIX) di Pusat Konvensyen Putrajaya hari ini.
Anwar turut berkata, SSPA adalah skim yang mengambilkira pelbagai faktor dan melaksanakan pertimbangan yang teliti dan berhemah terhadap pelaksanaan tersebut.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, SSPA adalah satu pengiktirafan terhadap pengorbanan yang begitu besar daripada penjawat awam keseluruhan dan semoga ianya sedikit sebanyak memberi sinar harapan dalam kesejahteraan hidup.
“Selain itu, SSPA ini mengandungi roh dan semangat Reformasi Perkhidmatan Awam yang dikehendaki bagi menjayakan agenda Malaysia Madani,” kata Anwar lagi. – MalaysiaGazette