KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju Pakatan Harapan (PH) tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat kepemimpinan tertinggi PH dipengerusikan Anwar yang berlangsung minggu lepas.
Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PH bersetuju calon Barisan Nasional (BN) bertanding di DUN tersebut.
“Sebagai menghormati kerusi “incumbent” sepertimana Barisan Nasional berbuat serupa ketika Pilihan Raya Kecil Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada September 2023 tempoh hari.
“Pakatan Harapan akan turun memberi sokongan dan dukungan sepenuhnya kerana mengekalkan kemenangan kerusi DUN Mahkota adalah menjadi keutamaan dalam
semangat Kerajaan Perpaduan pada hari ini,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, wujud pergeseran antara Amanah dan UMNO selepas kedua-dua parti dalam Kerajaan Perpaduan itu menuntut untuk bertanding pada PRK DUN Mahkota.
Ketua Amanah Kluang, Dr. Mohd. Zuhan Mohd. Zain dipetik berkata, ia berikutan parti berkenaan pernah memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan turut bertanding kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022.
Susulan tuntutan itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros menyifatkan tindakan Amanah tersebut sebagai gelojoh dan tamak, selain tidak menghormati sensitiviti keluarga dan waris bekas ADUN Mahkota, Allahyarhamah Sharifah Azizah yang baru meninggal dunia.
Bagaimanapun Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu mengambil pendirian untuk memberikan laluan kepada parti penyandang di kerusi-kerusi yang dipertandingkan dalam mana-mana PRK.
Mohamad berkata, pendirian itu berdasarkan kepada amalan gabungan Kerajaan Perpaduan dalam enam PRK yang dihadapi sepanjang tempoh penggal Parlimen ke-15 ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, calon Kerajaan Perpaduan pada PRK DUN Mahkota akan diwakili BN.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh 28 September 2024 sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Johor.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan pemergian penyandang kerusi tersebut, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, yang meninggal dunia pada jam 12.30 tengah hari pada 2 Ogos lepas.-MalaysiaGazette