Motosikal yang ditunggang pelajar Tingkatan 5 terbabas ke dalam longkang menyebabkan dia cedera parah.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mahu ibu bapa atau penjaga bertanggungjawab atas kecuaian mendedahkan kanak-kanak kepada kemalangan maut atau kecederaan di jalan raya.

Usul itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC) Dr Farah Nini Dusuki susulan tragedi kemalangan jalan raya baru-baru ini melibatkan penunggang motosikal bawah umur.

Dalam satu insiden, seorang kanak-kanak berumur 12 tahun menunggang sebuah motosikal roda tiga jenis telah menyebabkan kematian seorang bayi berusia 13 bulan di Kubang Kerian.

Dalam satu insiden lain, dua kanak-kanak lelaki berumur 13 tahun maut selepas bertembung antara satu sama lain ketika melakukan aksi menunggang motosikal secara berbahaya di Elmina.

Bagi kes pertama, cukai jalan dan insurans motosikal beroda tiga tersebut telah tamat tempoh dan kes kedua, kejadian berlaku pada jam 11.20 malam ketika dua remaja terbabit melakukan aksi ‘wheelies’.

“Kedua-dua insiden ini jelas menunjukkan kegagalan ibu bapa atau penjaga dalam memantau aktiviti anak mereka terutamanya pada waktu malam.

“Ibu bapa dan penjaga yang cuai hendaklah dipertanggungjawabkan atas kegagalan mereka dalam memenuhi peranan mereka sebagai penjaga kanak-kanak.

“Kematian kanak-kanak yang terbabit bukanlah hanya sekadar suatu kemalangan atau takdir yang tersurat, kerana ia boleh dielakkan sekiranya ibu bapa dan penjaga melaksanakan pemantauan sewajarnya.,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, ibu bapa atau penjaga yang mengabaikan anak mereka atau bertindak secara cuai dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya anak mengalami kecederaan fizikal atau yang membenarkan anak mereka terabai, boleh, sekiranya disabitkan kesalahan, didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun, atau kedua-duanya.

Di bawah Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987, ibu bapa atau penjaga yang menyebabkan atau membenarkan anak mereka yang berusia di bawah 16 tahun memandu, suatu kenderaan motor, sekiranya didapati bersalah, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan, atau kedua-duanya.

Berdasarkan statistik daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, jumlah kemalangan maut dan kecederaan di jalan raya dalam kalangan kanak-kanak yang menjadi mangsa kemalangan motosikal meningkat pada tahun 2023 berbanding 2022, khususnya pada julat umur kanak-kanak di antara 6 hingga 10 tahun, dengan kes meningkat daripada 97 kepada 111.

Katanya, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dilaporkan sedang mendraf satu undang-undang baru berkaitan pembelian motosikal oleh penunggang tidak berlesen.

Oleh itu, Farah Nini menyeru supaya draf undang-undang tersebut disiapkan dengan segera untuk pembentangan di Dewan Rakyat.

Pada 2019, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyarankan pelaksanaan satu kategori lesen baharu yang dirujuk sebagai ‘B3’ kepada Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan, yang mana akan mengehadkan individu berusia 16 hingga 20 tahun untuk hanya menggunakan motosikal elektrik dan motosikal ‘moped’ berkuasa rendah tidak melebihi 70cc.

Saranan tersebut telah dipertimbangkan, dan pada 2021, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah menyokong suatu cadangan untuk mengkaji idea tersebut.

Walau bagaimanapun, Farah Nini berkata, status penyelidikan tersebut masih tidak diketahui hingga kini.

Justeru, belau menggesa Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia supaya memaklumkan dengan jelas berhubung perkembangan kajian tersebut. – MalaysiaGazette