Ravindar (kiri) pada Majlis Program Rintis Rakan Kolaborasi Taman Angkat IPD Cheras dan Balai Balai di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Selepas hampir lapan bulan Rakan Kolaborasi Taman Angkat Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras dilaksanakan, kes jenayah di kawasan perumahan di daerah itu semakin terkawal dan tidak membimbangkan.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban Singh berkata, melalui program rintis itu, komuniti telah memulakan inisiatif sendiri mengawal keselamatan dan menyalurkan maklumat jenayah kepada pihaknya.

Ia ia secara tidak langsung menyaksikan kes jenayah di taman perumahan berkurangan, katanya.

Beliau berkata demikian dalam siding media selepas Majlis Perasmian Rakan Kolaborasi Taman Angkat oleh Balai-Balai Polis di Ibupejabat Polis Daerah Cheras hari ini.

Menurut Ravindar, pihaknya telah menjadikan tujuh kawasan komuniti perumahan di sekitar daerah Cheras di sini sebagai lokasi rintis pelaksanaan program Rakan Kolaborasi Taman Angkat Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras dalam usaha mencegah jenayah.

Tujuh lokasi rintis yang terpilih itu adalah Perumahan Awam Seri Sabah 3B, Perumahan Awam Seri Pulau Pinang, Taman Midah, Taman Miharja Fasa1, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Salak Selatan, PPR Raya Permai dan PPR Pinggiran.

“Program rintis perumahan ini telah mula diperkenalkan sejak Januari lepas dan menyasarkan taman perumahan dan penglibatan komuniti setempat untuk menyalurkan sebarang maklumat mengenai aktiviti jenayah yang berlaku di kawasan penempatan mereka.

“Kita melihat program ini daripada segi aspek menjamin keselamatan dan ketenteraman penduduk di daerah ini hidup sejahtera tanpa gangguan jenayah.

“Kita melaksanakan pelbagai aktiviti antaranya melantik ahli jawatankuasa kecil dalam kalangan ahli (komuniti), memberi pendedahan mengenai jenayah yang berlaku di kawasan setempat serta kaedah berkesan untuk memudahkan mereka menyalurkan maklumat dengan segera, selamat dan sulit kepada polis,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya, walaupun laporan jenayah di kawasan perumahan sudah berkurangan  cuma aktiviti itu sebaliknya sering berlaku di kawasan terbuka seperti pusat beli belah, perhentian bas dan sebagainya. – MalaysiaGazette