KUALA LUMPUR – Sekumpulan mahasiswa UiTM terdiri daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Shah Alam Sesi 2022/2023 dengan kerjasama Persatuan Tumbuh Insan (Tumbuh) telah menganjurkan Program Rays Of Hope For Uyghur Refugee Children, salah sebuah inisiatif dalam program UiTM Kickstart: International Student Empowerment 2024 bertempat di Istanbul, Turkiye.
Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini untuk membawa sinar harapan dan memberi sokongan holistik kepada kanak-kanak pelarian Uyghur.
Dalam program ini, MPP UiTM memberi sumbangan sebanyak 21,260 Turkish Lira (RM2,800) yang dikumpul melalui hasil kutipan derma yang kemudian diserahkan kepada Pengetua Uyghur Science and Cultural Research Foundation Türkiye..
Antara pengisian program termasuklah beberapa sesi aktiviti khusus untuk mengasah dan memperkukuh kecerdasan emosi kanak-kanak melalui permainan kreatif yang dapat mengurus emosi.
Selain itu, kanak-kanak ini juga didedahkan dengan aktiviti permainan interaktif seperti mewarna dan melukis untuk mengasah kreativiti mereka.
Selain itu, program ini turut mengasah inovasi diri melalui pengajaran pembuatan “slime” yang memerlukan kesabaran, teknik yang betul dan juga inovasi bagi memastikan “slime” tersebut menjadi seperti yang diharapkan.
Alya Ellyana Zulkarnain, Pengarah Program UiTM KickStart International Student Empowerment 2024 berharap inisiatif yang telah diberikan dapat meringankan beban pengurusan harian bagi kanak-kanak pelarian Uyghur ini.
Secara keseluruhan, inisiatif ini sedikit sebanyak dapat memberikan peluang kepada peserta program dalam berkolaborasi bersama persatuan NGO luar negara dalam menyantuni komuniti luar.
Melalui program ini juga peserta akan dapat menyaksikan sendiri bagaimana kanak-kanak pelarian ini hidup di bumi Turkiye dan dapat belajar di sekolah seperti kanak-kanak lain. – MalaysiaGazette