ACFTA
Bangunan MITI

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berjaya meraih potensi eksport bernilai RM8.33 bilion daripada Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) ke Thailand pada 15 – 16 Ogos 2024.

Misi itu diketuai oleh menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz, diiringi Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel, serta wakil-wakil daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Matrad telah menganjurkan mesyuarat meja bulat dengan pegawai atasan daripada 12 syarikat korporat Thailand, serta pertemuan satu dengan satu bersama lima syarikat terkemuka Thailand untuk memfasilitasi peluang perdagangan antara kedua-dua negara.

Secara kolektif, syarikat-syarikat Thai tersebut menjana pendapatan tahunan melebihi RM545 bilion dan mewakili pelbagai industri bernilai tinggi, termasuk minyak dan gas; elektrik dan elektronik; alat ganti dan komponen automotif; bahan kimia; serta barangan pengguna (FMCG).

Antara produk berpotensi yang ingin diimport oleh syarikat dari Malaysia termasuk gas asli cecair, petroleum mentah, pelarut kimia, bitumen, komponen automotif, baja, resin polimer dan komponen elektronik.

Tengku Zafrul berkata, hubungan dua hala Malaysia dan Thailand sememangnya saling menguntungkan selama beberapa dekad.

“Kami akan menyegerakan komitmen penyumberan terbaru daripada syarikat-syatikat Thai ini, termasuk dalam sektor halal yang mempunyai banyak potensi yang belum diterokai untuk kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan.

MITI juga berkongsi dengan syarikat-syarikat Thailand beberapa rancangan mengenai Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025, bertujuan untuk menggalakkan kerjasama ekonomi serantau dengan memudahkan aliran perdagangan dan pelaburan yang lebih lancar untuk meningkatkan pertumbuhan serantau.

Beliau juga menggalakkan pemain industri Thai untuk terlibat dalam acara yang diterajui sektor swasta sekitar mesyuarat rasmi ASEAN pada
2025.

“Memandangkan Malaysia bersiap sedia untuk menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025, adalah amat penting bagi kedua-dua sektor awam dan swasta untuk bekerjasama dalam memajukan integrasi serantau dan membentuk kerjasama strategik, khususnya dalam menangani trend mega yang memberi kesan kepada rantau ini, termasuk geopolitik, keselamatan serantau, pendigitalan dan perubahan iklim,” sambung Tengku Zafrul.

Pada tahun 2023, nilai perdagangan Malaysia dengan Thailand berjumlah RM113.37 bilion. Dalam konteks ASEAN, Malaysia adalah rakan dagangan terbesar Thailand, destinasi eksport terbesar, dan sumber import terbesar.

Eksport utama ke Thailand terdiri daripada produk elektrik dan elektronik (E&E), petroleum mentah, kimia dan produk kimia, LNG dan perkilangan logam. Malaysia mencatatkan lebihan dagangan sebanyak RM4.46 bilion dengan Thailand pada tahun 2023. – MalaysiaGazette