Wan Rosdy Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan terhadap bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin yang didakwa biadab ke atas Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau kecewa dengan ucapan Muhyiddin yang didakwa menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Tegasnya, Muhyiddin tidak sepatutnya mengheret institusi diraja dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri untuk meraih undi dan mengaburi rakyat tentang apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Saya yakin dan percaya, rakyat juga telah mengetahui dan bersetuju bagaimana kewibawaan Ke bawah Duli Paduka Baginda Tuanku berjaya menghentikan kemelut politik negara daripada terus berpanjangan dengan menubuhkan Kerajaan Perpaduan, di mana Pas dan Bersatu telah menolak titah Tuanku ini.

“Oleh itu, saya meminta pihak berkuasa mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Tan Sri Muhyiddin yang secara sengaja mencetuskan suasana yang tidak harmoni dengan menyentuh isu 3R (kaum, agama, institusi diraja) dalam kempen politiknya, agar ia menjadi pengajaran dan peringatan kepada semua pihak,” kata beliau dalam kenyataan.

Wan Rosdy berkata, rakyat perlu terus menghormati institusi diraja yang merupakan lambang kedaulatan dan kestabilan negara serta simbol penyatuan dan pelindung rakyat.

Sebelum ini tular ucapan Muhyiddin ketika berkempen di DUN Nenggiri yang mendakwa beliau sudah mendapat 115 sokongan ahli Dewan Rakyat selepas PRU 15.

Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata, sokongan yang peroleh itu membolehkan beliau diangkat sebagai perdana menteri namun tidak dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu untuk mengangkat sumpah.

“Saya dapat 115. Kalau ikut kiraan Perlembahaan saya sudah ada jumlah yang lebih daripada mencukupi untuk jadi perdana menteri. Ini bukan untuk mengungkit tetapi ia sebagai rekod atau sejarah.

“Tapi entah macam-mana Yang di-Pertuan Agong pada waktu itu tak ajak jemput saya pergi istana angkat sumpah. Siapa Agong dulu. Pahanglah ya,” kata Muhyiddin.-MalaysiaGazette