Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra bersama wakil pelajar pada International Young Future Leaders Summit 2024 (iFUTURE 2024) di WTC Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 17 OGOS 2024

KUALA LUMPUR – Kerajaan terbuka dan mengalu-alukan penyertaan pelajar luar negara dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) yang dikendalikan pihak swasta.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia bagi memastikan pelajar terlibat tidak mengganggu peluang atau kouta yang ditawarkan kerajaan kepada pelajar tempatan.

“Sistem pendidikannya hanya 20 peratus metadologi pendidikan hanya dibuat di dalam kelas dan metadologi pendekatannya dimana 80 peratus dibuat di makmal atau tempat kerja atau di lapangan.

“Ini menarik dan pelajar-pelajar daripada luar negara untuk TVET yang dikendalikan oleh pihak swasta agar ianya tidak merebut peluang atau mengambil peluang tempat yang disediakan oleh kerajaan untuk pelajar tempatan di institusi TVET di bawah tajaan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri International Young Future Leaders Summit 2024 (iFUTURE 2024) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Sementara itu, iFUTURE 2024 yang merupakan satu platform telah menghimpunkan pemimpin pelajar daripada pelbagai latar belakang, membolehkan mereka berinteraksi dalam dialog bermakna, bertukar pendapat, dan menjalin hubungan jangka panjang yang akan menjadi asas bagi kerjasama global di masa hadapan.

Selain itu, ia juga mengetengahkan suara dan perspektif generasi muda dalam menangani cabaran global seperti isu perubahan iklim, ketidaksamaan ekonomi, dan gangguan teknologi yang memerlukan idea-idea baharu dan kepimpinan yang berani.

Program yang berlangsung selama tiga hari itu melibatkan lebih 1,000 pemimpin mahasiswa tempatan dan antarabangsa daripada 46 buah negara telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam. – MalaysiaGazette