JOHOR BAHRU – Ekonomi negara yang berkembang 5.9 peratus pada suku kedua tahun ini merupakan pencapaian di luar jangka sekali gus membuktikan negara berada atas landasan yang betul.
Prestasi ini juga membuktikan keyakinan antarabangsa terutama pelabur terhadap potensi sebenar ekonomi negara, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Oleh itu, katanya, Malaysia perlu meneruskan momentum itu dengan pelaksanaan dasar serta naratif ekonomi yang telah dirangka terutama kecekapan proses dan prosedur selain mereformasi struktur bagi memudahkan pelabur menjalankan perniagaan di negara ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sesi ‘Ask Minister Anything Bersama Menteri Ekonomi’ sempena Program Madani Rakyat Zon Selatan 2024 di Dataran Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini, hari ini.
Malaysia merekodkan Keluaran Dalam Negara Kasar 5.9 peratus pada suku kedua 2024, mengatasi unjuran awal 5.8 peratus yang diumumkan bulan lalu.
Pertumbuhan itu adalah yang tertinggi sejak suku keempat 2022.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dilaporkan berkata, pertumbuhan itu dipacu oleh peningkatan ketara perbelanjaan isi rumah dan pasaran kerja yang kukuh serta sokongan dasar yang lebih meluas.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, cabaran kerajaan ketika ini adalah memastikan naratif dan dasar sedia ada menarik kepada pelaburan dan pertumbuhan dengan menyediakan segala fasiliti yang perlu serta proses dibuat dengan segera dan teratur.
“Jika segala proses memudahkan perniagaan dan pelaburan itu dapat kita tawarkan dengan efektif, barulah momentum (pertumbuhan cemerlang) itu dapat diteruskan
“Apabila segala proses (memudahkan perniagaan) dapat dibuat maka Malaysia akan dilihat sebagai destinasi pelaburan yang baik bukan sahaja di rantau ini, malah di dunia,” katanya.
Rafizi berkata, bagi mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi cemerlang itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan akan melancarkan Kerangka Memudahcara Perniagaan, pada 4 Oktober depan.
Kerangka itu adalah strategi kementeriannya bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara terus berada pada tahap positif.
Kerangka Memudahcara Perniagaan itu sudah selesai dirangka selepas setahun ia diperincikan dan melalui proses kelulusan. Kerangka baharu itu mengenai kecekapan khidmat kerajaan dalam mempermudahkan perniagaan di negara ini.
“Jadi kita perlu bergerak cepat, bukan sahaja fokus kepada naratif lagi tetapi memastikan semua yang berada dalam sistem kita (kecekapan khidmat kerajaan) dapat dipertingkatkan dan dipermudahkan bagi memastikan keyakinan pelabur terhadap Malaysia tidak sia-sia,” katanya.- MalaysiaGazette