Hasmi (tengah) bersama panel dan urus setia pemeriksaan audit di UMS Kampus Antarabangs Labuan.

KOTA KINABALU – Pusat Pengurusan NR dan Fasiliti (PNRF) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjalankan sesi pemeriksaan audit ke atas keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di kolej-kolej kediaman UMS.

Menurut Pengarah PNRF, Hasmi Hashim, pemeriksaan audit tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran kepentingan dan penambahbaikan pengurusan KKP di kolej-kolej kediaman UMS.

“Kolej kediaman adalah rumah kedua bagi para pelajar UMS. Kita mahu pastikan pelajar-pelajar sentiasa berada dalam keadaan selamat dan sihat sepanjang mereka berada di sini.

“PNRF UMS juga hari ini berbesar hati kerana pemeriksaan audit ini turut mendapat kerjasama dan sokongan daripada pihak industri iaitu Syarikat Sedafiat Sdn. Bhd. yang turut menyumbang sejumlah dana bagi membiayai sebahagian kos audit,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, UMS komited untuk sentiasa menjaga KKP khususnya berkenaan pelajar-pelajar

“Penarafan bintang KKP hasil sesi pemeriksaan audit ini akan dapat meningkatkan kepercayaan para pelajar untuk tinggal dan bekerja untuk kakitangan yang berada di kolej kediaman dengan selesa dan selamat,” katanya.

Sesi audit tersebut telah dijalankan di semua kolej kediaman UMS induk, Kampus Antarabangsa Labuan dan Sandakan yang diketuai oleh Pengarah Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UMS, Profesor Dr. Kamisah Awang Lukman bersama Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS, Profesor Madya Dr. Shamsul Bahari Shamsudin. – MalaysiaGazette