Prof Ts Dr Massila Kamalrudin

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menyambut baik pengumuman kenaikan gaji untuk semua penjawat awam melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan berkuat kuasa pada 1 Disember 2024.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, pengumuman tersebut menjadi berita gembira kepada penjawat awam di seluruh negara terutamanya kakitangan UTeM.

Jelasnya, perkara ini menzahirkan keprihatinan kepimpinan Perdana Menteri Malaysia dan Kerajaan Madani terhadap kebajikan penjawat awam yang menjadi jentera penyampaian khidmat kerajaan buat seluruh rakyat Malaysia.

“Menerusi kenaikan ini juga tentunya menjadi suntikan motivasi kepada pelbagai peringkat dalam jabatan kerajaan termasuklah universiti untuk terus berdaya lonjakan prestasi kerja secara menyeluruh.

“Apabila kakitangan bekerja dengan semangat tinggi maka ia merefleksikan pula kepada peningkatan prestasi dan produktiviti jabatan lalu memberi impak langsung kepada keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan seterusmya menjayakan Malaysia Madani,” ujarnya.

Massila berkata, kenaikan gaji juga memberi anjakan ekonomi secara khusus bukan hanya kepada kakitangan kerajaan semata-mata malahan akan turut merangsang ekonomi komuniti dan nasional.

Tambahnya, selari menyokong usaha kerajaan dalam agenda ini, UTeM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) misalnya sudah memulakan langkah dengan memperkenalkan inisiatif penetapan gaji premium untuk graduan TVET.

“Ini menandakan kemajuan yang positif dalam pelaksanaan dasar ini UTeM turut memainkan peranan penting dalam menjayakan inisiatif ini melalui formula strategik TVET Place & Train UTeM@KPT,” katanya. – MalaysiaGazette