KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menafikan parti itu akan menolak Belanjawan 2025 jika menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang berlangsung hari ini.
Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, perkongsian akaun ‘Harakakdaily’ di X yang membuat dakwaan itu disifatkan sebagai fitnah.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, PN tidak tidak teragak-agak untuk menyeret pentadbir halaman itu ke mahkamah.
“Kempen yang terdesak secara kotor, bacul lagi jijik! Ini fitnah dan palsu! Turunkan dalam sejam dan buat permohonan maaf @harakakdailyHD.
“Kalau tidak kami akan cari kamu ke lubang cacing untuk heret kamu ke mahkamah kerana memfitnah! Siap sedia terima surat dari peguam kami!,” katanya dalam kenyataan di media sosial.
Harakakdaily mendakwa PN akan menolak Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober depan.
Halaman itu mendakwa, kenaikan gaji kepada penjawat awam yang diumumkan oleh Perdana Menteri dan akan dibentangkan dalam Belanjawan 2025 mungkin akan terjejas.
“(Terkini) Perikatan Nasional akan menolak Belanjawan 2025 jika menang PRK Nenggiri, kenaikan gaji untuk kakitangan awam mungkin terjejas,” kongsi Harakakdaily yang turut memaparkan foto Wan Ahmad Fayhsal.
Anwar semalam mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional.
Beliau yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT).
“Pelaksanaan pemberian pelarasan gaji ini akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Dis 2024 bagi Fasa 1 dan pada 1 Januari 2026 bagi Fasa 2,” katanya semasa berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Kali Ke-19 (MAPPA XIX) 2024.
Sementara itu di DUN Nenggiri sedang berlangsung pilihan raya kecil yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan calon Perikatan Nasional Mohd Rizwadi Ismail.
Keputusan pilihan raya tersebut dijangka akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya pada pukul 9 malam ini.-MalaysiaGazette