Kerja-kerja kajian dan penyelidikan dijalankan berhampiran Pusat Penyelidikan Alami Marin UMT, Pulau Bidong Terengganu.

EKONOMI Biru atau lebih dikenali sebagai Blue Economy merujuk kepada penggunaan sumber laut dan pantai yang mampan untuk mencapai pembangunan ekonomi, meningkatkan kesejahteraan sosial tanpa menjejaskan alam sekitar. Konsep ini semakin mendapat perhatian di peringkat global kerana potensi besarnya dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang lestari. Malaysia sebagai sebuah negara maritim,
mempunyai peluang besar untuk memanfaatkan ekonomi biru bagi mengukuhkan kedudukan di pentas global.

Sebagai negara yang dikelilingi oleh laut yang panjang iaitu kira-kira 4800 km meliputi Laut China Selatan, Laut Sulu, Laut Sulawesi dan Selat Melaka, Malaysia berpotensi besar untuk mengembangkan sektor ekonomi biru. Lautan dan pantai Malaysia bukan sahaja menyediakan sumber makanan, tetapi juga merupakan tapak penting untuk pelancongan, aktiviti perkapalan dan perikanan. Dengan pengurusan yang bijaksana, sumber-sumber ini boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan ekonomi negara tanpa menjejaskan keseimbangan ekologi.

Dr. Mohd Zamri Ibrahim

Ekonomi biru juga membuka peluang pekerjaan baharu dalam bidang-bidang seperti akuakultur, pelancongan marin dan tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga angin dan tenaga ombak. Selain itu, pelaburan dalam ekonomi biru boleh membantu Malaysia mencapai matlamat pembangunan mampan (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, terutamanya dalam aspek perlindungan ekosistem laut dan
pengurangan kemiskinan.

Menyedari potensi ekonomi biru perlu dikembangkan, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim menekankan elemen sokongan dalam segenap segi pelaksanaan inisiatif bagi memastikan ekonomi biru terus diperkasa.

“Pada tahun ini kita telah menubuhkan pusat baharu iaitu Blue Economy Advancement Center (BEACON), yang akan berfungsi untuk menyokong inisiatif kerajaan dalam membangunkan sektor Ekonomi Biru di Malaysia.

“Program Sarjana Muda dan Kursus Micro Credential Ekonomi Biru akan turut diperkenalkan dalam masa terdekat. Ini adalah sebagai bukti kesungguhan kita dalam menerajui Blue Economy dan menjadikan UMT sebagai “Blue Economy University”

UMT dilihat sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang menjadi peneraju serta mengambil langkah proaktif untuk melahirkan modal insan berpengetahuan dalam bidang ekonomi biru, sekaligus menyokong usaha kerajaan untuk memacu pembangunan sektor ini.

Program-program yang bakal dibangunakan khas ini akan memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai strategi pengurusan sumber laut yang lestari, teknologi terkini dalam sektor maritim serta dasar-dasar yang berkaitan dengan ekonomi biru.

Selain itu, kerjasama antara universiti dan sektor industri melalui program Micro Credential juga membolehkan pekerja semasa meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang ekonomi biru. Ini bukan sahaja memperluas peluang kerjaya mereka, tetapi juga membantu industri untuk memperoleh bakat yang bersesuaian dengan keperluan semasa.

Bagi memastikan ekonomi biru menjadi agenda utama, inisiatif yang diperkenalkan Dr. Mohd Zamri seperti mewujudkan Kursi Endowmen Ekonomi Biru dan Sultan Mizan Global Forum on Blue Economy merupakan langkah tepat. Pewujudan itu berfungsi sebagai platform untuk penyelidikan dan pembangunan dalam bidang ini yang akan menyumbang kepada pemahaman yang lebih mendalam tentang cara-cara mengoptimumkan penggunaan sumber laut yang mampan.

Sementara itu, Sultan Mizan Global Forum on Blue Economy menjadi medan pertemuan bagi pemimpin, pakar, dan pemikir dari seluruh dunia untuk bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman dalam memajukan ekonomi biru. Forum ini bukan sahaja mengangkat Malaysia sebagai peneraju dalam agenda ekonomi biru di peringkat antarabangsa, tetapi juga membuka peluang untuk kerjasama serantau dan global.

“Bagi menyokong agenda ekonomi biru di peringkat yang lebih tinggi, Konsortium Universiti ASEAN untuk Ekonomi Biru bakal ditubuhkan. Konsortium ini menggabungkan kekuatan dan kepakaran universiti-universiti di rantau ASEAN dalam bidang ekonomi biru. Dengan kerjasama ini, universiti-universiti di ASEAN dapat berkongsi sumber, menjalankan penyelidikan bersama dan menawarkan program pengajian yang berfokus kepada ekonomi biru. Ini akan mempercepatkan pembangunan sektor ini di rantau ASEAN dan menjadikan rantau ini sebagai pemimpin dalam ekonomi biru di peringkat global,” ujar beliau.

Selaras dengan saranan Kementerian Pendidikan Tinggi yang mahukan universiti perlu berdikari dalam aspek pengurusan kewangan, pelaksanaan penjanaan endowmen sebanyak 30 peratus daripada pendapatan universiti adalah merupakan suatu cabaran penting yang perlu digalas oleh pengurusan universiti.

“Walaupun kekangan sumber kewangan menjadi cabaran ketika ini, marilah bersama-sama mengatur strategi dan pada masa yang sama berusaha meningkatkan bilangan kemasukan pelajar, terutamanya di peringkat sarjana muda dan sarjana melalui pembelajaran jarak jauh (ODL), perlu diperhebatkan. Program ODL yang menepati bidang tujahan dan memenuhi keperluan pasaran pekerjaan masa depan akan memastikan Malaysia terus relevan dalam bidang ekonomi biru.

Ekonomi biru menawarkan peluang yang besar untuk Malaysia mengukuhkan kedudukan di pentas global. Melalui pelbagai inisiatif, termasuk penawaran program pengajian, kerjasama serantau dan penjanaan endowmen, Malaysia mampu menjadi peneraju dalam ekonomi biru di peringkat antarabangsa.

Inisiatif-inisiatif ini bukan sahaja membantu dalam pembangunan ekonomi negara, tetapi juga menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam sekitar. Dengan langkah yang tepat, Malaysia mampu mencapai kejayaan cemerlang dalam agenda ekonomi biru dan menjadi negara contoh di dunia.

Amirul Salam Hasan
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu