Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Meningkatkan hubungan tamadun dengan India yang mempunyai sejarah sekurang-kurangnya 1 milenium dengan empayar Chola, akan menawarkan banyak peluang strategik kepada Malaysia.

Jarak geografik dekat membolehkan India yang merupakan ekonomi kelima terbesar kira-kira AS$3.9 trilion dan dijangka menjadi ekonomi ketiga terbesar dunia memberi banyak manfaat kepada Malaysia.

Ravindran Devagunam dari Pusat Ekonomi Serantau & Keselamatan Perdagangan (CREST) berkata, Malaysia memerlukan dasar asing, perdagangan dan keselamatan dengan India berikutan landskap global yang bergelora dan berkembang pantas.

Tambahan, pentabiran India yang sedang memacu ekonomi Kepulauan Andaman Nicobar  berhampiran Kedah memberi peluang lebih besar untuk kedua-dua negara meneroka kerjasama rentas sempadan dalam bentuk koridor ekonomi.

“Malaysia terkenal dengan ekosistem semikonduktor sejak beberapa dekad lalu. Apabila India mula memasuki bidang semikonduktor,  pengalaman Malaysia boleh dimanfaatkan untuk memberikan bantuan teknikal dalam beberapa bentuk kepada jiran serantaunya.

“Malaysia juga mungkin merupakan tempat yang baik untuk meneroka kerjasama dengan rakan sejawatan dari India bagi mewujudkan kilang pemprosesan untuk elemen nadir bumi (REE) yang boleh menjadi sokongan utama industri teknologi tinggi yang menjadi tonggak strategik utama untuk pertumbuhan dan keselamatan global,” katanya.

Ketika ini kedua-dua negara mempunyai imbangan perdagangan kira-kira AS$4.77 bilion yang memihak kepada Malaysia.

India menguasai keluaran pertanian kedua tertinggi selepas China sebanyak AS$524 bilion.

Negara itu juga kekal sebagai sauh perdagangan merentasi Lautan Hindi, yang berjumlah lebih AS$6.17 trilion.

“Selain memenuhi keperluan domestik Malaysia, prospek ini juga boleh menyediakan kemungkinan untuk dieksport semula ke seluruh ASEAN dan Asia Timur.

“Tidak perlu dikatakan, usaha seperti ini akan membantu meluaskan peluang ekonomi di Malaysia, di samping menangani isu kos sara hidup segera yang dialami oleh rakyat Malaysia,” kata beliau.

Menurut Ravindran, sebagai negara pengasas BRICS bersama China dan Rusia, sudah tentu India akan memberi sokongan penyertaan Malaysia ke dalam blok ekonomi tersebut.

Sokongan ini sekali gus menawarkan peluang strategik lebih luas kepada Malaysia untuk meneroka penyertaan ASEAN sebagai blok serantau dengan BRICS terutamanya Malaysia akan mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN akhir tahun ini.

Keunikan tambahan hubungan geopolitik antara Malaysia dan India ialah kedudukan geografi dengan Selat Melaka yang bertindak sebagai pintu masuk antara wilayah Indo-Pasifik dan Laut China Selatan.

Tambahnya, kerjasama keselamatan yang erat antara dua jiran serantau boleh memastikan saluran strategik ini tidak menjadi titik cengkaman sekiranya berlaku kerosakan rantaian bekalan di rantau Asia.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan lawatan rasmi ke India dalam tempoh terdekat dan akan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya, Narendra Modi.- MalaysiaGazette