Antony Blinken bersama Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh ketika melakukan lawatan rasmi pada Julai lalu, Foto media sosial,

 

Oleh: Collins Chong Yew Keat

LAWATAN Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, ke enam negara Asia yang bermula pada akhir bulan lepas, memberikan mesej jelas kepada sekutu dan musuh bahawa meskipun di sebalik krisis di Asia Barat, Timur Tengah, dan Ukraine, kekuatan dan komitmen Washington terhadap Indo-Pasifik dan Asia Timur tetap utuh.

Washington berusaha untuk membina struktur keselamatan serantau baharu dalam menangkis ancaman China dan Korea Utara, menghalang kemungkinan pengaruh Rusia baharu di rantau ini, dan mengukuhkan pendekatan kuasa melalui diplomasi dan cegah rintang berkesan.

Lawatan selama enam hari ini adalah yang perjalanan ke Asia ke-18 dan terpanjang bagi Blinken, mengukuhkan mesej yang disampaikan oleh pentadbiran Biden bahawa perubahan fokus daripada Timur Tengah ke Asia yang bermula pada 2014 di bawah Obama masih dikekalkan.

Lawatan ke Laos, Vietnam, Jepun, Filipina, Singapura, dan Mongolia memberi petanda niat strategik untuk mewujudkan rangkaian hubungan yang saling berkait dan menyeluruh, merentasi diplomasi Track I and Track II serta menjalin hubungan secara selari dalam domain diplomasi dan ketenteraan, dengan kehadiran Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin. Ini dicerminkan dalam mekanisme 2+2 (jalinan diplomasi dan pertahanan dengan Menteri Luar dan Menteri Pertahanan) dengan Korea Selatan dan Jepun.

Laos adalah tuan rumah Sidang Kemuncak Asia Timur dan Forum Serantau ASEAN (ARF). Vietnam kekal penting bagi AS, dan Blinken dijangka menghadiri upacara pengebumian negara untuk Nguyen Phu Trong, pemimpin Parti Komunis yang berkuasa. Hanoi kekal sebagai negara yang strategik bagi Washington, yang mana strategi dan pendekatan  cerdik dan tidak berpihak oleh Hanoi telah membolehkan negara ini mendapatkan yang terbaik dari China dan AS.

Jepun kekal sebagai sekutu paling penting, dan ini tercermin dalam jalan-jalan baru perikatan pertahanan dengan penglibatan 2+2 antara menteri pertahanan dan menteri luar kedua-dua negara.

Filipina merupakan salah satu kuasa luar yang kekal strategik sebagai faktor pelengkap untuk strategi Washington, dan merupakan sebahagian daripada formasi baharu the Squad.

Singapura turut kekal sebagai kubu bagi dasar Asia Tenggara oleh Washington, dengan sokongan ketenteraan dan kapasiti yang berterusan untuk postur pertahanan dan kuasa di rantau ini.

Mongolia muncul sebagai pelaku yang kian strategik dalam strategi keseluruhan membendung pengaruh China, di mana ia memainkan peranan berganda dalam berhadapan dengan Moscow dan Beijing dalam domain geografi serta mencipta pilihan sandaran baru untuk Washington dalam melengkapi power presence semasanya di Asia Timur, Asia Tengah dan Asia Selatan.

Strategi Indo-Pasifik 2022 oleh pentadbiran Biden menggambarkan nada jaminan yang berterusan bahawa Washington masih mampu memenangi dua konflik besar sekali gus, dan Indo-Pasifik masih kekal sebagai tonggak utama keamanan dan kestabilan global yang wajib dipertahankan oleh AS.

Penubuhan pelbagai kumpulan minilateral, daripada Quad kepada the Squad dan Camp David Pact antara Tokyo-Seoul-Washington, dilihat sebagai saling melengkapi satu sama lain dan diharapkan oleh Washington untuk memperkuat sinergi mereka untuk mempertahankan rules-based order.

Ini memberi isyarat objektif  keseluruhan iaitu bukan hanya untuk membendung ancaman China, tetapi juga untuk menaruh sasaran terhadap kuasa lain, sama ada dalam atau luar rantau, yang dilihat mencabar status quo dan norma berasaskan undang-undang antarabangsa dan maritim.

Kebergantungan keselamatan bersama baharu antara Tokyo dan Washington

Pemerkasaan kapasiti dan kepelbagaian tawaran pertahanan oleh Quad yang melebihi jaminan kuasa konvensional dan cegah rintang semata-mata, menyediakan pilihan alternatif yang disambut baik untuk rantau ini. Keselamatan ekonomi dan keselamatan maritim yang ditawarkan oleh kekuatan gabungan ahli-ahli Quad menyediakan pilihan alternatif baharu.

Washington dan Tokyo mencipta hala tuju baharu dalam sinergi pertahanan, dengan mengadakan war command baharu bagi Jepun seperti yang dimeterai dalam lawatan tersebut, menjadi satu transformasi dan penambahbaikan terbesar dalam sejarah 70 tahun perikatan keselamatan antara kedua-dua negara.

Tujuan struktur baharu ini adalah untuk memperkukuh pertahanan Jepun, di mana struktur ketenteraan bersama Washington-Tokyo sebelum ini terbatas kepada struktur dan gabungan fizikal lama. Strategi baharu ini mencerminkan rancangan Jepun untuk mencipta struktur operasi dan ketenteraan baharu yang mirip dengan operasi Amerika dalam menyambungkan angkatan udara, laut, darat, dan lain-lain dengan lebih baik pada awal tahun depan.

Sebelum ini, United States Forces Japan (USFJ) merupakan markas pentadbiran bagi unit-unit ketenteraan yang ditempatkan di negara ini, di mana komandan perang sebenar dan ketua Indo Pacific Command, ditempatkan di Hawaii, lebih dari 7,000km dari Jepun.

Kini, pangkalan dan markas baharu dan pembentukan komando perang akan mewujudkan tindak balas yang lebih tangkas dan cepat secara bersama. Dalam sebarang konflik atau perang dengan China, komunikasi dengan pasukan barisan hadapan di Jepun dan tempat lain di Pasifik Barat kemungkinan besar akan terganggu dan menjadi sasaran musuh.  Ini termasuk serangan siber, sabotaj atau pemusnahan kabel bawah laut atau penggodaman komunikasi di angkasa untuk meneutralkan satelit pengawasan dan komunikasi masing-masing.

Oleh itu, penciptaan komando operasi bersama yang dikerahkan ke barisan hadapan, akan mengambil kira semua risiko ini dan mewujudkan mekanisme tindak balas yang lebih cepat.

Jepun menyediakan pangkalan untuk AS dalam mempertingkat unjuran kuasa ketenteraan di Asia, menempatkan 54,000 tentera Amerika, ratusan pesawat AS dan satu-satunya forward-deployed aircraft carrier strike group.

Kebimbangan Jepun terhadap China dan Korea Utara semakin memuncak,dan Tokyo gusar dengan tahap kesiapsiagaannya dalam  perbelanjaan pertahanan.

Pada 2022, Jepun mengumumkan ia akan meningkatkan perbelanjaan pertahanan secara mendadak lebih daripada 60%, meningkatkan peratusan  perbelanjaan pertahanan kepada 2% daripada KDNK menjelang 2027, dan  akan memperoleh peluru berpandu jarak jauh yang mampu mencapai tanah besar China.

Tokyo akan dapat melancarkan serangan jarak jauh hanya dengan sokongan kapasiti dan sokongan lain dari Amerika.

Markas baharu Amerika dan komando gabungan ini bertujuan untuk melindungi Jepun. Tetapi mereka juga berperanan sebagai pengubah kuasa utama dalam mempertahankan Jepun dan Taiwan serta memenangi perang dengan China dan Korea Utara, dengan integrasi kapasiti sistem sokongan lain dari pangkalan di Korea Selatan dan sokongan kuasa dari sekutu-sekutu di rantau ini sekiranya diperlukan.

Diplomasi pertahanan Jepun yang semakin meningkat di rantau ini dengan Reciprocal Access Agreement (RAA), Official Security Act (OSA) dan lain-lain, berusaha untuk mendapatkan pilihan sokongan sandaran serantau dan sebagai insurans terhadap kebergantungan utama dengan AS. Jepun juga melihat keselamatan Taiwan dan impak masa depan sebarang krisis di Selat Taiwan sebagai berkaitan langsung dengan keselamatannya sendiri.

Konsep extended deterrence yang melibatkan penggunaan cegah rintang nuklear juga dibincangkan, walaupun ia kekal sebagai subjek sensitif di Jepun yang komited untuk tidak memperluaskan senjata nuklear dan merupakan satu-satunya negara yang menjadi mangsa serangan bom atom.

Washington juga berhasrat untuk memanfaatkan industri Jepun bagi membantu meringankan tekanan pada pembuat senjata AS yang telah tertekan oleh peningkatan permintaan yang dicetuskan oleh konflik di Ukraine dan Timur Tengah.

Tokyo dan Washington turut mempertingkat kapasiti pengeluaran bersama peluru berpandu serta dalam domain pembaikian kapal dan pesawat.

Kedua-dua Tokyo dan Washington juga bersetuju untuk meningkatkan pengeluaran peluru berpandu pertahanan udara dan serangan jarak jauh yang kini terhad, dan meningkatkan penempatan di sekitar pulau-pulau barat daya Jepun yang berdekatan dengan Taiwan.

Sinergi Tokyo-Seoul-Washington meningkat

Perjanjian Camp David yang dimeterai tahun lalu dalam mengukuhkan sokongan kuasa bersama Tokyo-Seoul-Washington juga menerima suntikan sokongan baharu dengan kunjungan Blinken dan Austin. Dalam menginstitusikan perjanjian itu, ia akan menjadikannya lebih sukar untuk ditarik balik, terutamanya risiko peralihan kuasa kepimpinan di AS yang akan memilih presiden baharu November ini.

Sepanjang tahun lalu, ketiga-tiga negara telah mengadakan latihan ketenteraan bersama untuk menghadapi pelancaran peluru berpandu dan juga mengadakan latihan memburu kapal selam. Ketiga-tiga negara juga mengadakan latihan udara, laut, dan siber tahun ini.

Semua langkah ini dengan Jepun dan Korea Selatan mempunyai kepentingan teras dan simbolik.

Secara terasnya, langkah-langkah ini akan meningkatkan pemberatan dan koordinasi unjuran kuasa keras dan keefisienan cegah rintang yang baharu. Secara simbolik, ini menghantar mesej langsung  kepada Beijing, Pyongyang dan Moscow bahawa kehadiran sedia ada dan masa depan AS dan sekutunya di Indo-Pasifik kekal terpelihara.

Namun, cabaran tetap melanda. Perdana Menteri Fumio Kishida akan berundur diri September ini dan Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol telah bergelut dengan sokongan yang merudum.

Peningkatan ancaman dari Pyongyang tetap menjadi faktor ancaman umum yang membenarkan ketiga-tiga negara untuk terus berpaksi kepada unjuran ancaman dan risiko ini.

Siri ujian peluru berpandu Korea Utara yang berterusan termasuk keupayaan peluru berpandu baharu yang mempunyai kelajuan dan kemajuan nyata, telah memaksa ketiga-tiga kuasa untuk mencari sinergi dan kapasiti cegah rintang yang lebih bersasar.

Kunjungan Putin ke Pyongyang dengan perjanjian yang ditandatangani mengenai janji pertahanan bersama, dan juga dengan Kim melabelkan Seoul sebagai musuh utama, semuanya mendorong Seoul untuk mempertimbangkan langkah sandaran lain dalam memastikan keselamatannya selain daripada sandaran terhadap Washington.

Pilihan untuk mencipta kapasiti nuklear sendiri sebagai cegah rintang berkesan terhadap Pyongyang juga telah dibincangkan, walaupun dengan kebimbangan yang besar terhadap tindak balas dari Washington dan Pyongyang mengenai pilihan tersebut.

China turut kian usar dengan peningkatan usaha Washington dalam menjalin hubungan yang semakin mendalam dengan jirannya, dan telah menuduh Washington dalam mencetus ketegangan yang meningkat di rantau ini dengan permainan kuasanya di rantau ini.

Struktur keselamatan di Indo-Pasifik memasuki fasa yang kian mencetus paradoks security dilemma, dan perlumbaan senjata dan kelebihan geopolitik dan percaturan ketenteraan akan terus dipergiat oleh kuasa dalaman dan luaran.

 

Penulis adalah enganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa di Universiti Malaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast