KUALA LUMPUR – Raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan 2024 akan berlangsung selama tiga hari, dari 27 hingga 29 Ogos ini, di Dataran Putrajaya.
Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan Kementerian Komunikasi, Harun Ali menyarankan orang ramai yang ingin menyaksikan raptai penuh tersebut agar mengikuti arahan pada papan tanda yang disediakan di kawasan tersebut berikutan penutupan jalan.
Beliau berkata laluan perarakan sambutan Hari Kebangsaan dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) menuju ke Masjid Putra di Putrajaya akan siap diatur menjelang 22 Ogos ini.
Katanya, Perbadanan Putrajaya selaku tuan rumah tahun ini, sedang menjalankan kerja-kerja pengalihan pasu bunga sepanjang laluan perarakan bagi memastikan acara itu berjalan dengan lancar.
“Perarakan ini dirangka oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan setiap tahun ia ada keunikannya, ada elemen kejutan, datanglah pada 31 Ogos ini,” katanya ketika ditemu bual pada program Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini, hari ini.
Tambah beliau, sekitar 8,000 kerusi serta 100 reruai penjaja disediakan untuk pengujung pada sambutan Hari Kebangsaan tahun ini . – BERNAMA