KUALA LUMPUR – Sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) di sebuah premis terbongkar dalam serbuan di Bukit Sentosa, Rawang, Kuala Kubu Bharu, Selangor, pada Khamis lalu.
Serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kira-kira jam 10.15 malam.
Ketua Pengarahnya, Datuk Azman Adam berkata, premis dipercayai stor haram itu dijadikan lokasi penyimpanan serta aktiviti pemindahan LPG secara haram dikesan menerusi risikan dijalankan dua minggu lalu.
“Semasa serbuan, seorang lelaki tempatan dan dua lelaki individu warga asing berusia lingkungan 45 tahun didapati sedang leka melakukan aktiviti pemindahan LPG daripada tong berkapasiti 14 kilogram kepada tong berkapasiti 50 kilogram.
“Sindiket terbabit dipercayai membeli tong LPG bersubsidi terus dari lori penghantaran sekitar Kuala Kubu Bharu, Gombak, Kuala Selangor, Petaling Jaya dan Shah Alam.
“Tong LPG berkenaan kemudian akan dibawa ke stor haram ini sebelum kerja pemindahan dijalankan dipercayai untuk dijual kepada pasaran industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, dalam serbuan itu pihaknya merampas sebanyak 291 tong gas kosong dan berisi pelbagai jenama.
“Selain itu turut dirampas adalah sebuah lori, alat penimbang pelantar elektronik, hos penyambung, telefon bimbit serta beberapa dokumen perniagaan lain.
“Kesemua barangan dirampas bernilai keseluruhan RM60,000 ini kemudiannya disita bagi siasatan lanjut,” jelasnya.
Berikutan itu, siasatan serta tindakan dikenakan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961. – MalaysiaGazette