Seorang lelaki maut selepas kereta dipandu adiknya merempuh sebuah treler di kilometer 76 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, Kluang, semalam

KLUANG – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandu adiknya hilang kawalan sebelum merempuh sebuah treler dengan muatan simen di kilometer 76 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian pada pukul 4.30 petang itu melibatkan Loo Wen Hao, 22, yang menaiki kereta Nisan Almera dipandu adiknya, Loo Wen Hui dan sebuah treler dipandu Muhamad Haziq Izzuddin Ismail, 32.

“Hasil siasatan awal mendapati kereta dinaiki dua beradik itu datang dari arah Simpang Renggam ke Machap manakala treler dari arah bertentangan.

“Sebaik sampai di lokasi kemalangan, kereta Nisan Almera dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan treler itu.

“Akibat pertembungan itu, Wen Hao yang duduk di tempat penumpang hadapan maut selepas mengalami kecederaan parah di muka dan badan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Bahrin berkata, Wen Hui pula yang memandu kereta mengalami kecederaan parah di muka serta patah kaki kiri manakala pemandu treler tidak cedera.

Ujarnya, kedua-dua mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini untuk proses bedah siasat dan rawatan.

“Pemandu treler ditahan untuk saringan air kencing namun didapati negatif daripada sebarang pengaruh dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.- MalaysiaGazette