Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengibarkan jalur gemilang ketika hadir pada Majlis Peluncuran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 19 OGOS 2024.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada institusi dan pegawai yang menguruskan agenda Bumiputera agar tidak menyalahgunakan kepentingan mereka dalam mengumpul kekayaan peribadi.

Sebaliknya Perdana Menteri mengingatkan mereka yang terlibat supaya melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh bagi memastikan matlamat Kerajaan Madani tercapai.

Justeri beliau mahu Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) yang dilancarkan hari ini memartabatkan golongan Bumiputera namun pada masa sama tidak meminggirkan kaum lain di negara ini.

“PuTERA35 perlu kita hendak merancang tetapi tanggungjawab saudara dari agensi kerajaan, syarikat kerajaan, jabatan dan kementerian.

“Percayalah kita akan pantau dari dekat dan kita mahu program dan pelan ini berjaya untuk memartabatkan Bumiputera dan rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) yang turut dhadiri timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di sini.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan komited untuk membantu mana-mana kelompok yang ketinggalan di negara ini.

“Sudahlah, hentikanlah simpang-siur politik, kaum berlebihan, daerah dan wilayah dan kita cari penyelesaian.

“Tidak banyak negara yang capai kejayaan yang kita kecapi sekarang ini. Ia bukan urusan Perdana Menteri atau menteri kerajaan, negeri sahaja.

“Ini urusan semua pekerja termasuk nelayan, pekebun kecil, kerajaan dan swasta,” katanya.

Perdana Menteri memberitahu, pencapaian memberangsangkan ekonomi negara ketika ini diraih hasil kesepakatan semua termasuk Kerajaan Persekutuan, negeri, pihak swasta serta rakyat jelata.

“Pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 5.9 peratus yang direkodkan pada suku kedua tahun 2024 adalah jauh lebih baik daripada kebanyakan negara di Asia,” katanya.

Pada masa sama, Anwar juga merakamkan penghargaan kepada agensi penguatkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Ketua Audit Negara dalam memastikan peruntukan kerajaan dibelanjakan dengan telus dan membendung ketirisan – MalaysiaGazette