Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah

MELAKA – Jasad Allahyarham Istiqomah Ahmad Rozi, 33, guru wanita yang dibunuh kejam di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, Alor Gajah lapan bulan lalu akan diserahkan kepada keluarga dalam keadaan tidak sempurna.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitendan Ashari Abu Samah berkata, ada anggota badan yang tidak dapat dijumpai lagi.

“Bahagian badan yang kita temui pada peringkat awal dan peringkat kedua (kepala dan tulang jari) telah diserahkan kepada keluarga hari ini.

“Jenazah ini sedang dimandi dan dikafankan dan insya-Allah selepas Zohor akan dibawa balik ke Kelantan untuk dikebumi.

“Keluarga menerima keadaan ini (jenazah) selepas dimaklumkan oleh pihak doktor,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka hari ini.

Ahli keluarga Allahyarham Istiqomah Ahmad Rozi yang hadir untuk menuntut jenazah seorang guru yang dibunuh kejam, Allahyarhamah Istiqomah Ahmad Rozi di Unit Forensik, Hospital Melaka. Foto SADIQ SANI, 19 OGOS 2024

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan dan pencarian anggota badan Istiqomah akan diteruskan.

“Kita akan teruskan siasatan kes dan ia tidak terhenti di sini sahaja, meskipun suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini.

“Sekiranya pihak polis menjumpai sebarang petunjuk baharu, kita akan teruskanlah (siasatan) bukan berhenti di sini,” ujarnya.

Tambahnya, setakat ini suspek hanya didakwa berkaitan kes Istiqomah dan tidak akan diserahkan kepada kontinjen lain.

Tertuduh akan dibawa ke penjara Sungai Udang sehingga kes pendakwaan selesai.

Peniaga mata wang asing itu dituduh di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh guru, Istiqomah, Disember lalu. – MalaysiaGazette