KUALA LUMPUR – Penganjuran Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Antarabangsa 2024 (iFUTURE 2024) menjadi ruang bagi mahasiswa memperkukuh dan menyerlahkan bakat kepimpinan, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Zambry berkata, iFUTURE 2024 yang julung kali dianjurkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan bermula sejak 16 Ogos lepas itu juga menjadi ruang untuk mahasiswa meningkatkan kualiti keilmuan, mengukuhkan keterampilan dan kemahiran pengucapan awam.
Beliau berkata, persidangan berkenaan juga membuka ruang kepada mahasiswa tempatan dan luar negara untuk berinteraksi selari dengan matlamat dan hala tuju kerajaan dalam membentuk mahasiswa bermutu tinggi dalam segala aspek.
“Lebih 1,000 pemimpin mahasiswa tempatan dan antarabangsa dari 46 negara telah mendapat manfaat secara langsung melalui sesi perkongsian dan diskusi melibatkan para pemimpin daripada sektor pendidikan tinggi, pemimpin muda serta beberapa menteri Kabinet yang memfokus kepada usaha membangunkan pemimpin masa hadapan yang terampil dan berwibawa.
“Program ini juga mengumpulkan penceramah daripada pemimpin luar memandangkan kita mempunyai ramai pelajar antarabangsa iaitu lebih kurang 128,000 orang pada masa ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup iFUTURE 2024 itu di sini hari ini.
Sebanyak tujuh forum diadakan sepanjang sidang itu dengan tajuk antaranya ‘Peranan Mahasiswa Sebagai Rakan Pembina Negara Bangsa’, ‘Teknologi AI Pemacu Kepimpinan Masa Hadapan’ dan ‘Penerapan Nilai Manusiawi di Media Sosial’.
Zambry turut mengumumkan penubuhan Global Student Unity Network (GSUN) yang akan menjadi platform kerjasama bagi membangunkan program kepimpinan mahasiswa peringkat antarabangsa.
“Ia juga akan menjadi platform jaringan antara pemimpin mahasiswa tempatan dan antarabangsa untuk berkongsi idea dan pendapat. Butiran akses kepada rangkaian itu akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya. – Bernama