Mohamad Nizar Mohamad Najib

KUALA LUMPUR – Inisiatif GovX Pahang 1st merupakan kolaborasi di antara Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (SUK Pahang) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk meningkatkan produktiviti negeri dan menjadikan Pahang negeri maju menjelang 2030.

Pembinaan rangka kerja GovX Pahang 1st menggabungkan kekuatan Australian Productivity Commission Performance Indicator (ROGS) dan Business Excellence Framework (BEF) dalam membina rangka kerja dan indikator bagi penambahbaikan perkhidmatan bagi setiap jabatan.

Satu bengkel telah dianjurkan bagi membincangkan lebih lanjut untuk memurnikan model GovX Pahang 1st, membuat verifikasi data serta merancang pelan tindakan projek inovasi yang melibatkan tiga jabatan utama projek rintis iaitu Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang dan Pejabat Tanah dan Daerah (PDT) Kuantan.

Di antara pelan tindakan projek inovasi telah dicadangkan adalah berkaitan hasil, perlesenan, pelan pemajuan, pemberi milikan dan juga penambahbaikan sistem dalam usaha meningkatkan kecemerlangan jabatan.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Datuk Mohamad Nizar Najib mengharapkan semua jabatan yang terlibat menggunakan inisiatif GovX Pahang 1st untuk membuat penambaikan berterusan dalam perkhidmatan bagi meningkatkan kemajuan jabatan dan produktiviti negeri.

Sementara itu, menurut Nurul Aini Mohamad, Ketua Unit Korporat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang semasa ucapan perasmiannya, inisiatif di bawah program Pahang 1st merupakan satu usaha yang berimpak tinggi dan holistik dalam memperkasakan kecekapan tadbir urus Kerajaan Pahang pada masa hadapan.

Kerjasama semua jabatan dalam memberikan sokongan terhadap inisiatif ini adalah pemangkin kepada kejayaan Pahang negeri maju.

Pengarah MPC Pahang, Dr. Noor Aishah Hassan berkata, GovX Pahang 1st ini menggabungkan beberapa elemen diantaranya teknologi digital, pengurusan pintar, dan penyelesaian inovatif untuk mencipta ekosistem yang menyokong pertumbuhan produktiviti yang mampan.

Inisiatif ini juga adalah usaha untuk membantu MPC melonjakkan pertumbuhan produktiviti pekerja Pahang sebanyak RM85,759 bagi tahun 2022 kepada RM128,000 pada tahun 2030 melepasi paras nasional iaitu RM125,000 dengan mengambil kira peningkatan pertumbuhan produktiviti pekerja sebanyak 5.1% secara tahunan. – MalaysiaGazette