PUTRAJAYA – Jenazah Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Strategik di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Rozaid Abdul Rahman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Presint 20, Putrajaya jam 10.50 pagi tadi.
Jasad Allahyarham Rozaid yang meninggal dunia petang semalam tiba di tanah perkuburan di sini jam 10.28 pagi dari Masjid Putra Heights selepas dimandi serta solatkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum itu meluangkan masa untuk menziarahi jenazah dan ahli keluarga di masjid berkenaan.
Anwar ditemani isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil.
Kira-kira 200 orang hadir ke tanah perkuburan bagi memberi penghormatan terakhir terdiri daripada pengurusan tertinggi kerajaan, ahli keluarga, saudara, warga PMO dan kenalan.
Antara yang hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar.
Difahamkan, Allahyarham Rozaid mengalami masalah jantung dan menerima rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.
Allahyarham Rozaid berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan selama 40 tahun selepas memulakan kerjaya sebagai pemberita kadet di Utusan Malaysia pada April 1984.
Wartawan veteran itu juga pernah menjawat jawatan Pegawai Eksekutif Pengisian/Pengarang Eksekutif Kumpulan Media The Star.
Kemudian Allahyarham memulakan tugas di Sinar Harian pada 4 Januari 2021 sebelum mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatannya pada 30 Disember 2022.
Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar kepada Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang ketika itu Menteri Pengajian Tinggi.
Rozaid berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan selama 40 tahun selepas memulakan kerjaya sebagai pemberita kadet di Utusan Malaysia pada April 1984.
Wartawan veteran itu juga pernah menjawat jawatan Pegawai Eksekutif Pengisian/Pengarang Eksekutif Kumpulan Media The Star. – MalaysiaGazette