JOHOR BAHRU – Tanggal 25 Ogos ini diumum sebagai Hari Cuti Peristiwa di Johor sebagai tanda penghargaan bagi ‘Pemain ke-12’ pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Piala FA 2024.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pengumuman itu dibuat selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Beliau berharap, penyokong JDT akan turut bersama-sama memberikan sokongan terhadap Harimau Selatan pada aksi Final Piala FA antara penyandang juara, JDT menentang Selangor FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
“Dengan perkenan Tunku Mahkota Ismail, dengan ini Kerajaan Negeri Johor memutuskan untuk mengisytiharkan hari Ahad, 25 Ogos 2024, sebagai Hari Cuti Peristiwa bagi seluruh rakyat negeri Johor sebagai tanda penghargaan buat ‘Pemain ke-12’ pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Piala FA 2024.
“Marilah kita ramai-ramai turun bersama membanjiri stadium Bukit Jalil pada Sabtu ini dan memberikan sokongan padu kepada pasukan JDT yang kita sayangi dalam mempertahankan kemenangan Piala FA 2024 ini. Sama-samalah kita doakan.
“Dengan prestasi membanggakan dan kesungguhan yang ditunjukkan pasukan JDT, saya menyeru seluruh Bangsa Johor untuk datang beramai-ramai bagi sama-sama memberi sorakan dan semangat sebagai ‘Pemain ke-12′ JDT. Kita penuhkan lautan Merah Biru di Stadium Nasional Bukit Jalil.
“JDT telah memenangi Piala FA sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 2016 dan dua kali berturut-turut pada tahun 2022 dan 2023. Insya-Allah Bangsa Johor, ayuh kita pastikan tahun ini JDT mempertahankan kejuaraan untuk mencipta rekod hatrik kemenangan Piala FA,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya hari ini.
Mengimbau kemenangan JDT, Onn Hafiz berkata, perjalanan bola sepak Johor melalui beberapa era jatuh bangun yang amat pahit.
Namun katanya, kejayaan terus ditempa JDT sejak Tunku Mahkota Ismail, dilantik sebagai Presiden Johor FA (PBNJ) yang baharu pada 16 Februari 2012 dan menyaksikan pelbagai rombakan strategik yang berani telah dimulakan.
“Tahun 2013 adalah tahun pertama JDT atau Harimau Selatan membuat penampilan sulungnya di bawah inisiatif transformasi baharu dan pada tahun berikutnya, kejayaan demi kejayaan mula ditempa bermula dengan menjuarai Liga Super dan mengekalkan rekod kejuaraan selama satu dekad (10 tahun berturut-turut) pada tahun lalu.
“JDT tidak menunggu lama apabila pada tahun 2015 menyaksikan Harimau Selatan mencatat sejarah dengan menjadi satu-satunya pasukan Asia Timur yang menjuarai Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC),” katanya.
Sehingga hari ini katanya, JDT menunjukkan peningkatan dengan penampilan konsisten di Liga Juara-Juara AFC apabila JDT mencatat satu lagi sejarah selepas mampu layak ke pusingan kalah mati iaitu 16 pasukan terbaik.
“Rekod ini amat membanggakan apabila JDT, sebuah kelab dari negeri ini mampu bersaing dengan kelab-kelab terbaik di Asia. Baru-baru ini, JDT juga telah berada di ranking No.9 di Asia berdasarkan statistik. JDT bukan sahaja meletakkan nama Harimau Selatan di pentas tertinggi, malah turut mempromosikan Johor kepada dunia melalui kolaborasi-kolaborasi dengan kelab-kelab dan jenama-jenama terkemuka,” katanya.
JDT mara ke Final selepas menewaskan Kedah Darul Aman FC pada aksi separuh akhir manakala Selangor FC, singkirkan Terengganu.- MalaysiaGazette