Gelagat pelajar-pelajar sekolah mengibarkan jalur gemilang pada Pentarama X Kelab Malaysiaku sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2024 di SMK Putrajaya Presint 9 (1). Foto SYADILA AMARI, 05 OGOS 2024.

TIDAK sampai beberapa hari lagi kita akan menyambut hari kebangsaan yang juga hari kemerdekaan ke-67. Perdana Menteri telahpun merayu dan mengingatkan untuk bersama-sama memeriahkan perayaan dengan turut mengibarkan bendera di premis masing-masing sama ada kediaman atau kompleks perniagaan. Kalau dahulu banyak yang telah berkorban wang ringgit, harta benda, rantai dan gelang emas, kini cuma diminta mengibar bendera.

Adakah itu juga satu permintaan yang sukar dilakukan?. Lebih malang ada yang telah dan masih mengibar bendera secara terbalik pula walaupun sudah hampir tujuh dekad merdeka. Jelas tidak ambil endah simbol penting negara sendiri. Lebih biadap jika dengan sengaja mahu menguji sensitiviti orang lain. Makanya setelah ditegur segera memohon maaf seolah-olah seperti kanak- kanak bermain “aci lut”.

Saban tahun 31 Ogos disambut sebagai hari kemerdekaan mahupun hari kebangsaan. Berapa orangkah antara kita yang merenung sejenak apakah yang tersirat di sebalik makna perayaan tersebut?. Benarkah kita sudah merdeka dan apa perlunya disambut setiap tahun? Apakah cukup dengan mengibar bendera sahaja maka merdekalah kita? Atau sebenarnya kita perlu lebih daripada itu?.

Bagaimana pula dengan simbol lain negara seperti budaya kebangsaan, bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu?. Tak perlukah dikibar juga? Sepatutnya budaya kebangsaan juga wajib dikibar, dijulang dan diperkasakan. Budaya kebangsaan yang luhur berjati diri asal negara ini. Ini bukan isu rasis atau perkauman. Ini adalah hakikat, sejarah dan kebenaran yang wajib diterima oleh rakyat Melayu, Cina, India dan lain-lain. Di sini bumi dipijak, janganlah langit di sana pula dijunjung. Memang Malaysia penuh dengan pelbagai bangsa, kaum dan etnik dan pastinya berbaur budaya yang berwarna-warni.

Namun hakikat yang tidak boleh dinafikan di mana-mana negara pun, tentunya ada satu budaya yang menjadi teras kepada negara ini berdasarkan hakikat sejarah dan asal-usul. Tak mungkin semua budaya statusnya sama. Perlembagaan juga telah mencatatkan tentang satu bahasa rasmi dan satu agama persekutuan walaupun bahasa lain boleh dipelajari dan anutan agama lain tidak dilarang. Tetapi budaya kebangsaan perlu kepada tunjangnya yang mengakar di bumi ini. Bukannya seperti menggaul rojak atau pasembur dipinggan. Dasar budaya kebangsaan seperti telah digubal selepas 13 Mei 1969 iaitu pada tahun 1971 berteraskan unsur kemelayuan dan Islam wajib menjadi akar dan pohonnya.

Sementara budaya lain yang ada di sini bisa saja diterima, disepadu, asalkan tidak bercanggah dengan nilai Melayu dan Islam. Sejujurnya tidak ada alasan yang wajar untuk merobah pancang budaya kebangsaan tersebut, melonggarkan lagi skrunya kecuali atas alasan tolak-ansur yang tidak perlu. Perpaduan dan muhibah seharusnya atas landasan persefahaman dan bukannya tolak-ansur kerana dalam tolak-ansur umumnya akan ada yang menolak dan ada yang diansur-ansurkan. Tetapi jika sudah saling memahami, maka tiada pihak yang akan menuntut sesuatu yang tidak perlu daripada pihak lain.

Begitu juga dengan bahasa Melayu yang statusnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi wajib dikibar di seluruh negara, dari kantor kerajaan sehingga di kompleks mega perniagaan, di taman perumahan elit. Bukan sekadar di pasar ikan dan pasar tani sahaja. Merdekakah minda kita jika seluruh kota, berkibaran bendera asing, bandar raya kita masih berwajah London, Hongkong dan Taiwan sehingga ada pelancong berasa seolah-olah melancong di negara mereka sendiri?

Dari lapangan terbang, deretan kedai bebas cukai, tepian lebuh raya, iklan kecil dan gergasi, bahasa New York dan Taiwan menyapa kita. Biasanya kita melancong untuk melihat sesuatu yang istimewa, menarik dan yang tiada di negara sendiri. Kita patut menyajikan mereka dengan keunikan, keistimewaan yang tiada di negara mereka. Bukan menyajikan jenama kompleks, hotel, program, acara dan lain-lain seperti yang ada di negara mereka. Kibarlah budaya kita, bahasa kita, menu dan resepi kita yang beraneka warna dan cita rasa yang sememangnya lebih menarik dan canggih. Semoga dengan berkibarnya bendera, budaya dan bahasa Melayu, kemerdekaan negara kita tidak lagi terpasung. Baharulah kita benar-benar telah merdeka! MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Kamal Shukri Abdullah Sani,
Pengerusi,
Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti Madani,
Majlis Perundingan Melayu.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast