Norihan (dua kiri) menyaksikan penyerahan replika cek bayaran zakat perniagaan oleh Pengerusi Kopketa, Mohamed Nordin Ahmad (kiri) kepada Amil Baitulmal Majlis Agama Islam Daerah Kluang, Nor Hisham Md Sawal (kanan) di Bandar Kluang, malam tadi

KLUANG – Koperasi Kemajuan Tanah Negeri Johor Berhad (Kopketa) kini boleh mendabik dada apabila berjaya menyumbang perolehan sehingga RM64.6 billion setahun.

Ini kerana Kopketa hanya bermula dengan modal RM493,680 dan sebelum ini dikenali sebagai Syarikat Kerjasama Polis Pangkat Rendah dengan keahlian 242 anggota polis pangkat rendah serta memiliki tanah seluas 783 hektar kira-kira 51 tahun dahulu.

Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata, kejayaan Kopketa boleh menjadi contoh apabila sekarang ini memiliki tanah ribuan ekar dan mampu menyediakan kira-kira 11 juta peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.

“Kekuatan sektor koperasi Kopketa ini telah menyumbang kepada ekonomi negara dengan perolehan RM64.6 billion dan ini amat membanggakan.

“Saya difahamkan bahawa anggota asal koperasi ini adalah daripada pesara polis pangkat rendah sekitar tahun 1973 hingga 1978 yang bertugas di Johor ketika itu,” katanya.

Ahmad Norihan berkata demikian ketika berucap dalam merasmikan mesyuarat agung tahun 2024 kali ke-47 Kopketa Berhad dan pelancaran Keta Care (Portal Insurans) Kopketa di sini malam tadi.

Beliau berkata, kini 80 peratus ahli koperasi berkenaan terdiri daripada generasi ketiga dengan jumlah keseluruhan 297 orang.

Ujarnya, dengan keupayaan Kopketa melepasi Jubli Emas 51 tahun penubuhannya, kini koperasi itu mempunyai pelbagai aktiviti perniagaan dengan peningkatan pendapatan sebanyak RM39.9 juta pada tahun 2023.

“Kejayaan ini juga membolehkan Kopketa mampu membayar zakat perniagaan tahun semasa sebanyak RM30,020.90, syabas dan tahniah diucapkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu,
pengertian koperasi adalah satu prinsip kerjasama oleh satu kumpulan yang mempunyai aspirasi sama dalam memenuhi keperluan ekonomi, sosial ataupun budaya secara bersama.

Tambahnya, gerakan koperasi juga merupakan satu inisiatif yang membawa kepada kemakmuran ekonomi sesebuah negara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast