KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan kerajaan untuk menggantung keputusan Mahkamah Tinggi berhubung perintahnya dalam memindahkan tanah seluas 106.542 hektar di Jalan Duta, di sini, kepada Semantan Estate Sdn Bhd (SESB).
Prosiding ini akan didengar Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh.
Minggu lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pelikuidasi SESB untuk mendapatkan semula tanah di Jalan Tuanku Abdul Halim (sebelum ini dikenali Jalan Duta).
Ahmad Shahrir memerintahkan kerajaan memindah milik tanah berkenaan kepada Semantan Estate selepas membenarkan saman pemula syarikat itu terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan selaku defendan.
Ketika itu permohonan kerajaan juga ditolak hakim yang mahu menangguhkan perbicaraan sementara menunggu cadangan penyelesaian oleh kerajaan berhubung pertikaian tanah berkenaan.
Semantan Estate memfailkan saman pemula terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan pada Februari 2017 untuk menguatkuasakan penghakiman Mahkamah Tinggi pada 2009.
Tanah yang terletak di lokasi utama Jalan Duta itu antaranya menempatkan Kompleks Lembaga Hasil Dalam Negeri, beberapa bangunan kerajaan, Stadium Hoki Nasional, Institut Kefahaman Islam Malaysia dan Masjid Wilayah Persekutuan.
Berikutan keputusan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan meneliti semula undang-undang berkaitan keputusan mahkamah perintah kerajaan memindah milik tanah seluas 106.542 hektar di Mukim Batu, di sini, kepada SESB.
Kata beliau, isu tanah tersebut merungsingkan kerana tanah tersebut sebelum ini diambil untuk kegunaan awam dan badan kerajaan. -MalaysiaGazette