KUALA LUMPUR – Pemuda MCA Pahang kesal dengan tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa mempertikai kewibawaan dan peranan Sultan Pahang melantik Perdana Menteri ke-10 ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Ketuanya, Wong Siew Mun berkata, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sepatutnya lebih arif tentang Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukan dengan jelas bahawa perdana menteri dilantik atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong selaku ketua negara.
Malah katanya, Muhyiddin sendiri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sama sebagai Perdana Menteri ke lapan pada awal 2020 susulan peletakan jawatan pendahulunya, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri ketujuh.
“Kenyataan yang dikeluarkan Muhyiddin pada kempen Pilihan Raya Kecil Nenggiri, Kelantan baru-baru ini adalah biadap, amat tidak bertanggungjawab dan boleh memecahbelahkan rakyat.
“Beliau juga dilihat tidak matang dalam berbicara dan terperangkap dengan masa silam. Sudahlah, masa lalu biarlah berlalu dan kini masa untuk kita semua bergerak ke hadapan,” katanya dalam kenyataan.
Pemuda MCA Pahang yakin polis akan menyiasat dengan pantas dan tegas berhubung ucapan Muhyiddin yang dilihat telah menyentuh isu (3R) iaitu kaum, agama dan raja, termasuk penderhakaan terhadap raja.
Menurut Siew Mun, Pemuda MCA Pahang yakin undang-undang sedia ada di negara ini tidak memilih bulu dan sesiapa sahaja yang didapati bersalah pasti dikenakan hukuman setimpal. – MalaysiaGazette