Dr Muhammad Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN) wajar untuk membuat permohonan maaf secara rasmi bagi memulihkan kesangsian serta keraguan yang telah dicetuskan terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong.

Pandangan itu dilontarkan Pergerakan Pemuda UMNO  berhubung tindakan Muhyiddin yang juga Pengerusi PN apabila didakwa secara sengaja menyentuh sentimen 3R (raja, agama, bangsa) ketika berceramah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan baru-baru ini.

Ketuanya, Dr Akmal Saleh berkata, kenyataan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri itu jelas mencetuskan persepsi negatif dan kesangsian terhadap kebolehan dan keupayaan Yang di-Pertuan Agong selaku ketua negara yang mana kuasanya telah diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan mengikut Perkara 40(2) dan Perkara 43(2).

“Pergerakan Pemuda UMNO melahirkan rasa dukacita di atas kenyataan yang dibuat oleh Muhyiddin berkenaan peranan dimainkan oleh Yang Di-pertuan Agong ke-16 dalam melantik Perdana Menteri Malaysia ke 10 selepas Pilihan Raya Umum 15 sewaktu berkempen di PRK Nenggiri baru-baru ini.

“Pergerakan Pemuda UMNO menjunjung kasih ke di atas titah tegas KDPM Tengku Mahkota Pahang agar polis dapat mengambil tindakan yang tegas terhadap keterlanjuran yang telah dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dr Akmal berkata, pihaknya turut mempersoalkan sikap pimpinan PN sama dan bertanya adakah  kenyataan Muhyiddin itu merupakan konsensus mewakili mereka semua.

Sebelum ini, tular di media sosial ucapan bekas Presiden Bersatu itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, menerusi hantaran di laman Facebook semalam telah menzahirkan perasaan kecewa serta terkilan dengan kenyataan Muhyiddin dan memohon pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu. – MalaysiaGazette