PUTRAJAYA – Pengarah Media dan Komunikasi Strategik di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Allahyarham Rozaid Abdul Rahman sangat komited dalam menjayakan naratif Malaysia Madani.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, Allahyarham mahu melihat Kerajaan Perpaduan berjaya mengetengahkan konsep Malaysia Madani dalam pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Permergian Allahyarham Rozaid sudah pasti merupakan kehilangan besar kepada Kerajaan Perpaduan Madani.
“Beliau begitu komited memastikan segala berita naratif Kerajaan Madani dibawa dengan baik,” katanya ketika hadir menyempurnakan pengebumian Allahyarham Rozaid di Tanah Perkuburan Islam, Persint 20, Putrajaya.
Rozaid, 59, yang dilantik sebagai Pengarah Media dan Komunikasi Strategik PMO pada 23 Mei tahun lepas meninggal dunia di rumahnya di Putra Heights, Subang Jaya akibat masalah jantung.
Berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan selama lebih 40 tahun, wartawan veteran itu sebelum ini menerima rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang sejak 1 Julai dan dibenarkan keluar dari hospital pada 6 Ogos lepas. – MalaysiaGazette