Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 19 OGOS 2024.

PUTRAJAYA – Kerajaan Perpaduan komited memastikan agenda Bumiputera terus diberi keutamaan dalam setiap perancangan pembangunan sosioekonomi negara yang berpaksikan semangat inklusif.

Menteri Ekonomi, Rafizi Razali bagaimanapun menegaskan, ia tidak akan menafikan hak kaum lain, sebaliknya mampu memberi kesan manfaat kepada semua kaum dalam aspek pembangunan dan kemajuan negara.

Justeru beliau memberitahu, hala tuju baharu pembangunan ekonomi Bumiputera diperkenalkan menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 atau PuTERA35.

“Pelain ini sebagai satu langkah proaktif untuk mengangkat darjat dan martabat Bumiputera yang menggagaskan tiga teras yang sejajar dengan Ekonomi Madani iaitu memperkukuh pasak ekonomi negara; memperkukuh kerukunan tatakelola dan institusi dan menegakkan keadilan sosial.

“Masih ada ruang dan peluang untuk kita bermuhasabah dan berikhtiar dalam mencari solusi terbaik agar sosioekonomi kaum.

“Bumiputera menjadi lebih maju dan makmur dan ini dapat dilakukan melalui reformasi struktur ekonomi ke arah menjadikan Malaysia, sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.

“Bumiputera mempunyai peluang dan potensi untuk memainkan peranan yang lebih bermakna dalam sektor dan industri baharu yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi, termasuk industri High Growth High Value (HGHV),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir, timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, PuTERA35 menzahirkan komitmen kerajaan untuk mengangkat darjat dan martabat Bumiputera agar sejajar dengan aspirasi Ekonomi Madani iaitu Memperkasa Rakyat serta dijajarkan dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030 (Agenda 2030)

Menurut beliau, ia akan membolehkan rakyat Malaysia menikmati kehidupan lebih berkualiti dengan visi Mengangkat Darjat dan Martabat Bumputera dibangunkan dengan Tema iaitu Penyertaan, Pemilikan dan Penguasaan (3P) Bumiputera yang lebih bermakna.

“Tema ini juga berhasrat untuk mencipta nilai melalui pendekatan yang lebih produktif dan bersepadu bagi mendorong Bumiputera untuk terus berkembang maju dan memainkan peranan yang lebih signifikan dalam pembangunan sosioekonomi negara.

“Ia turut untuk memastikan supaya segenap lapisan masyarakat Bumiputera termasuk Bumiputera Sabah dan Sarawak serta Orang Asli mempunyai asas ketahanan yang kukuh dalam mendepani segala is dan cabaran yang mendatang.

“Selain itu, penyertaan Bumiputera dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan inovasi serta sebagai tenaga kerja berkemahiran tinggi dapat ditingkatkan melalui PuTERA35,” katanya.

Ujar Rafizi, PuTERA35 juga disokong oleh tiga Teras, 12 Pemacu dan 132 Ikhtiar yang komprehensif, berani dan berpandangan jauh serta dalam masa yang sama lebih inklusif merupakan anjakan besar dalam membawa pembangunan Bumputera ke arah menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi serantau.

“Perincian program dan projek bagi setiap Ikhtiar, yang meliputi jangka masa pendek, sederhana dan panjang; di bawah PuTERA35 akan disediakan oleh agensi pelaksana berkaitan dan diselaraskan oleh kementerian yang telah dikenal pasti.

“Ketiga-tiga teras yang berbentuk struktural in merupakan asas penting kepada kemampanan sosioekonomi, keutuhan tatakelola dan institusi, serta keadilan sosial,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast