Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap selepas menziarahi Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Strategik di PMO, Allahyarham Rozaid Abdul Rahman di Masjid Putra Height, Subang Jaya. Foto SYADILA AMARI, 19 OGOS 2024.

SUBANG JAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemergian Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Strategik di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Rozaid Abdul Rahman satu kehilangan kepada dirinya.

Perdana Menteri itu berkata, allahyarham adalah seorang sahabat seperjuangan yang telah dikenali sekian lama.

“Kita kehilangan sahabat dan keluarga kerana Rozaid adalah kenalan lama sejak dia di media. Kemudian bapanya teman rapat di Permatang Pauh dan pernah jadi ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri).

“Di pejabat PM beliau merupakan tonggak daripada segi strategi menyantuni media dan berikan pendekatan yang baik.

“Saya dari segi peribadi dan keluarga mendoakan kepada Allah supaya roh Rozaid dicucuri rahmat dan mohon isterinya dan keluarganya sabar dan saya secara peribadi kehilangan sahabat dan rakan seperjuangan,” katanya ketika melakukan ziarah kepada Allahyarham di Masjid Putra Heights  pagi ini.

Semalam, PMO memaklumkan Rozaid telah meninggal dunia.

Dalam satu kenyataan, PMO berkata, allahyarham meninggal dunia kerana masalah jantung di kediamannya di Putra Heights, Subang Jaya.

Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Strategik di PMO, Allahyarham Rozaid Abdul Rahman disembahyangkan di Masjid Putra Height, Subang Jaya. Foto SYADILA AMARI, 19 OGOS 2024.

Sebelum ini, beliau pernah mengalami masalah kesihatan yang sama dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.

Pada 5 Julai lalu, Perdana Menteri menziarahi Rozaid yang sedang menerima rawatan ekoran masalah kesihatan yang dihadapinya.

Allahyarham memulakan tugas di Sinar Harian pada 4 Januari 2021 sebelum mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatannya pada 30 Disember 2022.

Semasa dalam tempoh perkhidmatan, Rozaid sempat melancarkan portal berita bahasa Inggeris Kumpulan Karangkraf iaitu Sinar Daily.

Rozaid berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan selama 40 tahun selepas memulakan kerjaya sebagai pemberita kadet di Utusan Malaysia pada April 1984.

Wartawan veteran itu juga pernah menjawat jawatan Pegawai Eksekutif Pengisian/Pengarang Eksekutif Kumpulan Media The Star.

Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang ketika itu Menteri Pengajian Tinggi.

Allahyarham Rozaid akan disempurnakan di Tanah Perkuburan Islam, Persint 20, Putrajaya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Strategik PMO meninggal dunia